Senin, 10 September 2007

Perkara Yang Sering Ditinggalkan Dalam Ibadah Puasa (Siri 3)

Kali ini, kita akan melihat 2 lagi perkara yang sering ditambah dalam ibadah puasa di kalangan masyarakat kita. Selepas ini, kita akan melihat apakah pula perkara yang sering ditinggalkan, meskipun ia penting...

InshaaAllah, kita akan melihat anak bulan petang esok di Cashmere Hill


[6] Membayar fidyah jika puasa qadha ditunda ke tahun seterusnya.

Sebahagian pendapat menyatakan, jika seseorang itu memiliki sejumlah puasa Ramadhan yang perlu diqadha, lalu dia tidak mengqadha dalam tahun tersebut sehingga menundanya ke tahun hadapan, dia wajib membayar fidyah sebagai denda di atas penundaan tersebut. Pembayaran fidyah ialah sekali makanan yang mengenyangkan mewakili setiap hari bagi setiap tahun yang ditunda. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat sebagaimana jelas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi:

Adapun jika penundaan puasa qadha terjadi tanpa keuzuran, maka ada keterangan daripada sejumlah sahabat yang mengatakan bahawa dia wajib memberi makan orang miskin (fidyah) setiap hari sebagai denda bagi penundaannya. Pendapat ini dipegang oleh Malik, al-Tsauri, al-Syafi‘e, Ahmad dan lain-lain.

Ada pendapat lain yang menyebut bahawa hal itu (penundaan puasa qadha) tidak menuntut apa pun selain qadha. Ini adalah pendapat al-Nakha‘e, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya serta dikuatkan oleh pengarang kitab al-Raudhah al-Nadiyah. Ini kerana tidak ada dalil apa jua tentang hal itu (penundaan puasa qadha) yang dapat disandarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika ada sekali pun, paling kuat ia adalah kata-kata sekelompok sahabat. Tentu ini bukan hujah bagi seseorang kerana kita tidak boleh beribadah kepada Allah dengan hujah seseorang. Oleh itu kerana itu, hukum bagi hal ini (penundaan puasa qadha) adalah neutral dan dikembalikan kepada dasarnya (iaitu qadha sahaja tanpa fidyah). Tidak boleh menggunakan nukilan daripada kata-kata sahabat (dalam bab hukum-hakam) melainkan hadis (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) yang sahih.

Saya (Syaikh al-Qaradhawi) melihat bahawa mengambil dalil daripada kalangan sahabat hanyalah sekadar hal-hal yang sunat, bukan wajib. Adapun yang wajib, kita memerlukan nas dalil daripada yang maksum (yakni Rasulullah) dan ini tidak kita perolehi.

Oleh itu dalam persoalan ini, yang lebih mendekati kebenaran ialah tidak perlu membayar fidyah. Seseorang yang menunda puasa qadhanya ke tahun seterusnya hanya wajib mengqadha, tidak lebih dari itu.


[7] Puasa dua dalam satu

Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.

Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.

Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:

Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.

Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.

Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.

Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama. Wallahua'lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar