Rabu, 05 September 2007

L.O.V.E. is C.I.N.T.A ?



Saya merenung kembali hasil karya Ust Pahrol tentang cinta di kalangan remaja. Menarik benar kupasannya. Begitu moderate, tetapi tidak pernah meninggalkan prinsip yang utama dalam syariat. Ya, PRINSIP adalah elemen yang begitu penting dalam hidup. Hidup haruslah didasari prinsip yang jelas. Manusia meninggal dunia, tetapi prinsip akan terus hidup, selama berlalunya masa, malam dan siang.

Ramai orang yang boleh berkata mereka punya prinsip tertentu. Ada juga yang menghampiri kesempurnaan apabila berbicara tentangnya. Persoalannya sekarang, apabila kita menterjemahkannya ke dalam realiti kehidupan seharian, kita akan mendapati banyak pertembungan antara prinsip dan juga kehendak diri. Terutama dalam soal cinta, ia merupakan suatu ujian besar buat mereka yang lemas dalam lautannya. Dan dalam kebanyakan ketika, manusia sering tewas kepada kehendak diri, atau boleh juga dipanggil nafsu.

Justeru, salahkah bercinta? Jawapannya tentulah TIDAK SALAH. Cinta ibarat pisau, boleh digunakan untuk memotong bahan-bahan masakan untuk menjadi hidangan yang enak, atau juga boleh digunakan untuk membunuh jiwa yang tidak berdosa. Oleh itu, bukan cinta yang salah, tetapi orang yang mengemudinya bertanggungjawab memandu hala tuju cinta itu. Ke mana cinta itu mahu dibawa? Mampukah sang nakhoda memastikan bahtera cintanya berlayar di lautan keredhaan Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tanpa terjatuh ke jurang maksiat dan kehinaan?

Persoalan seperti ini harus tegar bermain di minda mereka yang akan, sedang, dan telah pun memasuki gerbang cinta yang indah membutakan itu. Benar, cinta memang buta dan membutakan pula sesiapa yang terkena panahannya. Segalanya nampak indah. Namun malangnya, syariat pula tampak kabur dek keindahan kasih yang bersemi. Ini cinta yang salah. Andai kita punya azam untuk hidup bersama dengan yang dicintai selama umur akan dikandung badan, maka yang lebih perlu diutamakan adalah syariat yang telah diatur oleh Tuhan, bagi memastikan hidup kita sentiasa dalam lingkungan rahmat dan keredhaan.

Ungkapan cinta itu bukanlah hanya pada keindahan kasih yang mekar antara dua jiwa. Bahkan ia adalah suatu cetusan perasaan yang bisa memberi kekuatan untuk terus tenang dalam ketaatan. Dengan itu, ia tidak akan rapuh dengan campuran dosa dan maksiat, sebaliknya akan terus subur dengan siraman kasih sayang yang hakiki dari Tuhan. Dari pengertian ini, akan lahirlah sifat tanggungjawab untuk menjaga cita daripada tersasar ke lembah kehinaan.

Siapa kita akan menentukan bagaimana kita melihat cinta. Oleh itu, sedarlah diri, bahawa kita ini tidaklah sehebat mana, bahkan tidak lebih daripada bergelar seorang hamba yang hina. Beranikah kita menempatkan cinta manusia dalam hati lebih besar daripada cinta Tuhan yang hakiki? Tepuk dada, tanyalah iman dalam diri.

Love adalah cinta. Namun ia bukan sebarang cinta. Ia adalah azimat suci yang akan mewarnai kehidupan penghuninya dengan lakaran indah syariat yang bersumberkan Tuhan yang Maha Tahu akan apa yang terlindung di sebalik tabir hati hamba-hamba-Nya. Berpeganglah pada syariat, inshaaAllah cinta kita akan menjadi kuat. Andai kita belum bersedia, maka janganlah sesekali berani untuk mengetuk pintunya.

Pohon maaf andai ada tersalah bahasa. Semoga cinta yang terbina sentiasa terpelihara di bawah lembayung Keredhaan Yang Maha Esa...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar