Sabtu, 01 September 2007

Bila lagi mahu berubah...


Apakah yang sedang direnungkan pada langit itu...

Semalam saya bekerja dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam. Kerja one-ff membersihkan rumah yang sedang direnovate di Sumner. Rasa bagai mahu tercabut semua tulang dan sendi di seluruh badan. Sungguhpun penat, tetapi saya gembira kerana mendapat pengalaman baru, di mana majikan saya membawa saya ke dumping area, berdekatan Sumner. Bagi Christchurch region, ada 3 tempat pembuangan sampah yang utama, iaitu di Sockburn, Redwood dan Sumner. Kesemua sampah itu kemudiannya akan diangkut ke sebuah lembah yang terletak di North Canterbury untuk ditanam atau dilupuskan. Yang menariknya, bagi negara yang mementingkan kebersihan seperti New Zealand ini, mahu membuang sampah pun dikenakan bayaran. Seingat saya, majikan saya terpaksa membayar sebanya $227 dolar untuk sampah seberat 160 kg. Setakat ini, beliau telah pun menghabiskan sebanya $1200 dolar, hanya untuk membuang sampah! Saya tidak dapat membayangkan jika etika ini diamalkan di negara kita...

Setelah pulang, saya terus bersiap untuk ke kedai kebab, tempat saya bekerja setiap hujung minggu. Mr Marwan, majikan saya menyedari raut wajah saya yang pucat, penat. “Don’t worry, I’m OK”, kata saya, sambil meneruskan kerja memotong ayam dan menyediakan pesanan pelanggan di grill. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Pulang ke rumah, ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya, berkenaan persiapan bulan Ramadhan. Terlebih dahulu, saya bersyukur kerana pihak UCSA telah membenarkan kami menggunakan ruang atas, bangunan di tengah Ilam Field, tempat CMSA mengadakan bbq tahunannya. Sesungguhnya kurnia ini adalah jauh lebih baik daripada apa yang pernah kami impikan. Cuma masalahnya sekarang, kami masih belum bertemu penyelesaian tentang makanan; siapa yang akan sanggup untuk menyediakan iftar untuk sekurang-kurangnya 60 orang setiap hari. Minggu lalu, kami telah berjumpa dengan seorang pengusaha kedai pembekal daging halal yang bakal dibuka hujung minggu hadapan. Kedainya terletak berhampiran Blehneim Rd, di belakang Mad Butcher. Kami sedikit sebanyak telah pun mengaturkan bagaimana untuk mendapat bekalan ayam daripadanya. Secara kasar, Mr Hassan, pemilik kedai itu bersetuju. Tetapi, hingga kini, beliau masih belum menghubungi saya berkenaan pembukaan kedainya. Tidak mengapalah, saya masih bisa menunggu.

Apa yang saya bimbangkan ialah bagaimana untuk mencari orang yang sanggup memasak dan menyediakan segala persiapan setiap hari. Kalau hendak diserahkan kepada pelajar, pastilah ia akan membebankan mereka, lantaran peperiksaan akhir semester yang bakal menjelang. Sejenak saya terfikir, kala ini di manakah mereka yang bertanggungjawab untuk duduk bersama mencari penyelesaian kepada masalah ini. Semuanya hilang, bersama berlalunya cuti semester yang hanya berbaki seminggu lagi. Nampaknya, masing-masing punya 'maslahat' lain yang lebih utama sekarang. Kebanyakannya sibuk dengan teman wanita masing-masing. Belum pun bertunang, tetapi gayanya bagaikan sudah berumahtangga. Kita mesti ingat, MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA. Pengisytiharan cinta bukanlah passport rasmi untuk melangkah batas-batas pergaulan yang digariskan syariat. Kalau kerana cinta, syariat dibelakangkan, keterlibatan kita dalam usaha dakwah tersekat, berkatkah cinta kita itu? Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Dalam hal ini, tanggungjawab itu menjadi fardu kifayah, iaitu menyediakan keperluan bagi umat Islam, untuk berbuka puasa dan bersolat Terawih. Bukan sekadar sunat muakkad yang mudah ditinggal-tinggalkan. Terkadang, saya juga bosan dengan mentaliti: “Tidak mengapa, kalau aku tak buat, ada orang lain yang akan selesaikan”. Mungkin mulut mereka tidak menzahirkan lafaz kalimah ini, tetapi perbuatan mereka jelas menuturkan bahasa yang seumpamanya. Ini adalah sikap orang yang tidak mahu belajar. Tidak boleh ditegur, tidak mahu menerima kritikan. Jika begini sikap kita, selamanya kita akan terperap di takuk lama, sampai bila pun tidak akan berubah. Saya tidak bisa jadi sempurna, tetapi ia bukanlah penghalang untuk kita menyatakan kebenaran, meskipun ia pahit untuk ditelan.

Mungkin agak keras bicara saya kali ini. Dari mana saya pelajari semua ini? Daripada pergaulan saya dengan mereka yang pernah melalui waktu-waktu sukar sebelum menjadi manusia yang benar-benar bergelar insan. Tanpa rasa susah, kita sama sekali tidak akan belajar dan tidak akan dapat perbaiki diri. Keluarlah kita dari zon selesa, ke daerah perjuangan yang merindukan keazaman dan pengorbanan tanpa balasan. Konsepnya mudah, banyakkan memberi; tenaga, masa, fikiran dan apa sahaja yang diperlukan. InshaaAllah, kita akan mendapati hasilnya pasti tidak mengecewakan di kemudian hari.

Maaf andai kata-kata saya ini menyinggung mana-mana pihak yang sudi menjengah tulisan saya yang serba hina ini. Saya ingin perbaiki diri. Saya tidak mahu cepat melatah. Tunjukkan saya kalau ada yang salah. Sekian….

Tidak ada komentar:

Posting Komentar