Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan, meskipun bertemakan timur tengah (Iraq khususnya), tetapi saya tetap dapat menikmatinya dengan tenang dan berselera. Bro Abdul Kadir, atau nama lainnya Abu Saleh (bapa kepada anaknya, Saleh) memang terkenal dengan sifat pemurah dan banyak membantu dalam memudahkan kehidupan kami sebagai pelajar Muslim di universiti. Jasa dan sumbangan beliau terlalu banyak, dan pastinya kami tidak mampu untuk membalasnya. Saya masih ingat lagi detik pertama kali bertemu dengannya, beliau menyatakan bahawa beliau sudah jemu dengan krisis politik yang melanda pentadbiran Masjid An-Nur di Deans Ave. Bertitik tolak daripada itu, beliau mengalihkan perhatiannya kepada Muslim Student Prayer Room di universiti, di mana kami mula mengadakan solat jumaat secara sepenuhnya, dan jumlah yang hadir semakin juga lama semakin bertambah. Alhamdulillah.
Bro Abdul Kadir adalah seorang yang optimis. Beliau mudah untuk memberi khidmat dan kebaikan untuk kemudahan pelajar Muslim di sini. Sumbangan pertama beliau adalah membina rak untuk diletakkan Al-Quran dan kitab-kitab agama yang lain. Kemudian, beliau juga membina rak kasut yang terlindung daripada hujan, yang saya kira memakan kos yang tidak sedikit jumlahnya. Tidak cukup dengan itu, beliau juga telah membeli set amplifier untuk digunakan semasa solat Jumaat yang berharga $800 NZD! Semua itu dilakukannya sendiri, dengan wang dan tenaganya sendiri. Saya kagum dengan kesungguhannya.
Sepanjang bulan Ramadhan, beliau adalah orang yang paling bertanggungjawab untuk menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Daripada pinggan dan cawan, buah-buahan, kebab, sehinggalah Charcoal Chicken, semuanya beliau yang menguruskan. Hampir setiap hari saya dan sahabat-sahabat berbuka di surau. Terasa seperti di Malaysia pula. Tidak cukup sekadar bulan Ramadhan, beliau juga memberi sumbangan yang besar semasa kami mengadakan sambutan Aidilfitri. Suatu kenangan yang pastinya sukar dilupakan adalah, ketika beliau menyewa seorang ‘clown’ untuk menghiburkan kanak-kanak semasa sambutan Hari Raya di Ilam Common Room. Clown itu akan meniupkan belon dan mengubahnya menjadi bentuk yang menarik dan comel, sesuai untuk menghiburkan adik-adik yang masih kecil. Tetapi menjelang tengahari, sejurus selepas ‘adik-adik’ itu beredar, saya melihat abang-abang dan kakak-kakak pula yang ramai mengerumuni clown itu. Masing-masing dengan permintaannya yang tersendiri. Dan seorang rakan saya kelihatan begitu gembira apabila mendapat belon yang berbentuk penguin!. Aduhai, saya kira, clown itu bukan sahaja berjaya menghiburkan kanak-kanak kecil, tetapi juga abang dan kakak kepada kanak-kanak itu. Mungkin juga kami semua tidak pernah merasai peluang seperti itu semasa kecil dahulu. Maklumlah, budak kampung. Hanya tahu lastik dan menjerat burung..
Jumaat depan adalah Solat Jumaat terakhir bagi Bro Abdul Kadir di bumi Christchurch ini. Sedih rasanya apabila beliau menyatakan pemergian beliau adalah ‘for good’. Saya bukanlah bersedih kerana beliau, secara individunya akan pergi meninggalkan kami, tetapi saya sedih kerana semakin kurang bilangan orang yang istiqamah untuk solat berjemaah di surau, terutama ketika Subuh. Beliau sangat mengambil berat tentang ‘punctuality’, terutama dalam urusan solat.
Perginya juga membawa kehilangan yang besar kepada kami semua. Hingga kini, tiada yang dapat menggantikan kebaikan sebanyak yang dicurahkan olehnya. Hal ini membuatkan kami terpaksa berdikari demi memastikan kesinambungan dan kelangsungan hidup pelajar Muslim di universiti ini akan diteruskan tanpa sebarang masalah.
Secara jujurnya, banyak yang saya pelajari daripada sikapnya yang suka memberi. Bagi saya, seseorang tidak mungkin dapat memberi sebanyak itu, tanpa mengharapkan apa-apa balasan, melainkan beliau memberinya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan Allah. Hidup ini akan lebih bermakna apabila kita lebih banyak memberi daripada menerima. Beri kemudahan, kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain, akan menjadikan kita puas dan redha dengan kehidupan kita sendiri. Jangan risau harta kita akan berkurang, kerana Allah itu sifatNya Yang Maha Mencukupi. Pabila kita banyak memberi, maka Allah akan mudah untuk memberi rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Hidup akan jadi tenang, hati akan jadi lapang. Bukankah itu yang kita inginkan?
“Sebaik-baik Mu’min, adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain”.
Renungi hadith ini sedalam-dalamnya, kerana ia sebenarnya mengajar kita meletakkan nilai yang sepatutnya pada diri kita. Kerana erti hidup yang sebenarnya adalah pada ‘memberi’. Apabila kita menunaikan hak yang sepatutnya sebagai seorang Muslim, maka secara sendirinya hak terhadap Muslim lain akan tertunai. Pastilah tidak akan berlaku masalah di mana suami isteri menuntut hak masing-masing, wanita dengan women’s right meraka, pekerja dan pelbagai lagi pihak dengan hak yang diperjuangkan. Inshaa Allah semuanya akan selesai.
Di kesempatan ini, saya mendoakan agar Allah terus memberi kemudahan kepada Bro Abdul Kadir untuk terus berkhidmat kepada manusia lain. Kerana sesungguhnya salah satu tanda Allah mencintai seseorang hamba adalah, Allah memudahkannya untuk melakukan kebaikan. Dan apabila hamba itu melakukan kebaikan, Allah membuka satu lagi pintu untuk melakukan kebaikan yang lain. Semoga kita juga tergolong dalam lingkungan hamba-hamba yang dicintai-Nya.. Inshaa Allah..
Farewell Bro Abdul Kadir, may Allah rewards all your good deeds..Saya juga ingin dambakan Cinta Allah…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar