Saya mulakan entri ini dengan ucapan bismillah walhamdulillah...
Kala ini hati saya terasa sedikit tenang, walaupun masih di tengah-tengah kehangatan gelombang peperiksaan yang meruntun kekuatan akal untuk meneruskan perjuangan yang berbaki 4 hari sahaja lagi.
Rasa syukur tidak terhingga saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana menganugerahi saya sedikit ketenangan yang saya kira cukup berharga dan bermakna, ibarat air yang dingin di tengah padang pasir yang panas dan kontang.
Pagi tadi saya menduduki peperiksaan akhir untuk subjek Mechanics of Materials B, di bawah kelolaan Lecturer Dr Eli Van Houten. Peperiksaan yang bernilai 50% ini begitu kritikal bagi saya, lantaran saya tidaklah mendapat markah yang begitu memberangsangkan dalam dua ujian sebelum ini yang bernilai 50% juga. Maka, peperiksaan ini bakal menentukan sama ada saya lulus atau terpaksa mengulanginya pada tahun hadapan. Sudah tentu saya tidak mahu.
Dalam kekalutan melakukan persediaan semalam, saya sempat menelefon ibu. Mulanya, saya cuba menelefon rumah di Kerteh,namun tiada jawapan. Hati jadi gusar. Lantas saya cuba menghubungi telefon bimbit ibu, Alhamdulillah, lega mendengar suara ibu yang memulakan bicaranya dengan ucapan "Hello sayang..". Hilang segala resah gelisah yang membaluti tubuh sejak sehari dua ini. Rupa-rupanya ibu dan abah dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu, kerana abah menghadiri kursus Public Mutual (Unit Trust), sejenis profession yang melibatkan 'collective investment' terutama untuk tempoh jangka panjang. Kursus ini adalah persediaan untuk aktiviti selepas bersara abah yang akan bermula 31 Disember 2007.
Ibu memberitahu, bahawa kebanyakan mereka yang menyertai kursus itu terdiri daripada orang muda. Abah satu-satunya 'orang lama' di kalangan mereka. Timbul pula rasa 'menjadi muda' buat seketika. Kata ibu, "Biar muda di wajah, jangan di hati. Kalau di hati, susah ibu nanti.." Saya menyokong saranan itu sambil ketawa. Hilang sebentar kerisauan akan peperiksaan yang bakal dihadapi keesokan hari.
Ibu dalam nasihatnya membritahu saya supaya banyakkan berselawat dan istighfar, terutama apabila berhadapan waktu-waktu sukar di dalam dewan peperiksaan. Amalkan juga membaca surah Al-Inshirah. Pernah juga ibu bertanya,"Solat Tahajud ada buat?". Saya menjawab,"Errmmm...hehe". Bagi ibu, biar anaknya belajar jauh sampai ke hujung dunia sekali pun, namun hubungan dengan Allah itu jugalah yang mesti diutama. Saya insaf sejenak.
Seketika kemudian, saya sempat berbicara dengan abah. Abah, seperti biasa, memberi semangat yang tidak pernah luntur. Saya masih ingat lagi kata-kata nasihatnya semalam:
"Going through hardship is challenging.
But when we succeed, it is very enriching"
But when we succeed, it is very enriching"
Benar, pengertian mutiara kata itu benar-benar dirasakan saat ini. Seketika, saya kagum dengan semangat abah untuk mengambil peperiksaan Public Trust itu, meskipun di sekelilingnya mereka yang lebih muda dan beliau sudah pun melebihi separuh abad umurnya. Namun semangatnya ketika menasihati saya semalam, ibarat seorang jurulatih yang bersungguh-sungguh mahukan yang terbaik daripada anak buahnya. Inshaa Allah saya tidak akan mensia-siakan harapan yang tinggi menggunung itu. Demi abah dan ibu.
Usai menghubungi mereka, saya merasakan seolah-olah dikurniai semangat baru untuk berjuang. Biarpun sesukar mana soalan yang bakal ditanya, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijawab dengan sebaik-baiknya.
Dan Alhamdulillah, berbekalkan semangat dan doa ibu dan abah, saya mampu untuk menjawab hampir kesemua soalan, meskipun saya tidak pasti salah atau betulnya. Yang penting, saya telah pun cuba melakukan yang terbaik sekadar kemampuan saya. Selebihnya, saya bertawakal kepada Allah, Tuhan yang Maha Adil lagi Bijaksana.
2 down,2 more to go. Inshaa Allah, saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik, biarpun di minit terakhir dalam peperiksaan subjek Dynamics pada hari Rabu nanti. Semoga Allah memberkati usaha yang dicurahkan dan mengampunkan dosa-dosa saya yang bisa menjadi hijab kepada kejayaan yang diimpikan. Dan saya kira segala amalan saya ini, terlalu halus nilainya, dan takkan cukup untuk membalas segala nikmat yang pernah saya rasakan hingga detik ini.
Buat akhirnya, terima kasih abah dan ibu kerana memahami setiap kesusahan anakmu ini. Andai ku himpun kebaikan sebesar dunia dan seisinya, pasti dan pasti, takkan mampu membalas jasa pengorbanan keduamu..Sayang abah & ibu..
Tidak ada komentar:
Posting Komentar