Rabu, 27 Juni 2007

Pasca- Exam..

"It's 12.30 now. Please stop writing. Make sure you have your name, student ID, seat number and subject written on the front page of your answer booklet." Begitulah kata-kata makcik penjaga peperiksaan sebaik exam terakhir saya melabuhkan tirainya.

Cerah mentari di musim sejuk ini, secerah perasaan saya tatkala melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala nikmat kurniaannya. Paper terakhir ini saya harapkan dapatlah menampung kekurangan saya dalam subjek Principle of Electronics pada hari sebelumnya.

Sebenarnya, saya agak down selepas menyudahi exam untuk subjek electronics itu, kerana saya tahu saya tidak dapat menjawabnya dengan baik. 'Ala kulli hal, saya pohon kepada Allah moga memberikan yang terbaik buat diri ini. Mujurlah ada sahabat yang memberikan kata-kata semangat, buat menyambung perjuangan yang hampir terhenti dek semangat yang merudum.


Terima kasih sahabat atas kata-kata penuh bermakna

Namun, secara keseluruhannya, saya dapat merasakan ada sedikit peningkatan dalam cara saya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Mungkin sudah terbiasa dengan tutorials dan juga past years. Bak kata ibu, tiada soalan yang mustahil untuk dijawab. Dan harapan saya, semoga peningkatan ini akan berterusan untuk peperiksaan akan datang.

Bercakap soal exam, ada 2 perasaan yang sering menghantui diri. TAKUT dan HARAP. Takut fail dan berharap untuk lulus. Teringat pula saya akan khutbah jumaat untuk kali terakhir di Family House minggu lalu. Selepas ini, solat Jumaat akan diadakan di Bentley’s Wing, tingkat 2, bangunan UCSA. Khutbah tersebut memperkatakan tentang takut dan harap, sebagai pakej melengkapkan rasa keimanan kita kepada Allah.

Ada apa dengan takut dan harap?

Para ilmuan Islam terdahulu menyifatkan perjalanan kita menuju Tuhan ibarat seekor burung yang sedang terbang menuju sarangya dengan sepasang sayap. Sebelah sayap itulah takut, manakala sebelah lagi harap. Integrasi kedua-duanya sama penting bagi memastikan kestabilan dapat dicapai lantas memandu kita menuju matlamat hidup dengan selamatnya.

Takut adalah perasaan gentar dengan azab siksa Allah yang maha pedih, tidak tertanggung oleh kita, hamba yang serba hina ini. Pernahkah jari kita tersentuh api yang sedang menyala di dapur contohnya? Saya berani menjawab, tiada siapa yang mampu menanggung kepanasan api dunia. Dan api akhirat itu, terlalu panas, berwarna hitam pekat dan bisa terasa bahangnya meskipun berbatu-batu jauh jaraknya. Sanggupkah kita bersedia untuk azab semacam itu? Jika tidak, maka takut adalah kuncinya.

Takut untuk melakukan dosa, meskipun sekecil berpeluang meniru di dalam peperiksaan, di mana hanya kita sahaja yang tahu. Tatkala diri ingin melakukan dosa, di situlah perlu datangnya takut. Takut kita tidak mampu mempertahankan diri di hadapan mahkamah Allah yang Maha Adil. Takut akan azab Allah yang sudah pasti kita takkan mampu menanggungnya. Dan yang paling penting, takut tidak dapat menjadi seorang hamba yang bersyukur.

Hadith nabi pernah menyebut, pabila kita melakukan dosa, satu titik hitam akan menandai hati kita. Andai taubat nasuha kita gantikan dengan kesungguhan dan hati penuh ikhlas, titik hitam itu akan kembali terpadam. Namun andai kita terus melakukan dosa tanpa bertaubat, hati akan terus diselubungi titik hitam yang akhirnya akan membuatkan ia menjadi gelap. Ketika, takut sudah tiada lagi…

Bagaimana pula dengan berharap? Apa yang kita sepatutnya kita harapkan? Di sinilah perlunya kita sedar akan hakikat diri sebagai seorang hamba kepada tuan, bukan pekerja kepada majikannya. Apa pula beza hamba dan pekerja?

HAMBA (SLAVE)

Menjadi seorang hamba, bererti mengabdikan diri kepada tuannya. Ini kerana hamba adalah harta mutlak yang dimiliki oleh tuannya. Hamba itu disediakan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Setiap khidmat dan kerja hamba itu hanyalah untuk berbakti kepada tuannya. Dan sudah tentu hamba itu layak diuji tanpa perlu banyak soal kenapa itu dan ini.

PEKERJA (SERVANT)

Sebagai pekerja, mahu tidak mahu, seseorang itu pasti mengharapkan ganjaran daripada pekerjaan yang dilakukan. Biar seikhlas mana sekalipun, namun ganjaran itu tetap menjadi pendorong utama untuk terus bekerja. Itu sifat insaniyah yang tercipta bersama lahirnya kita ke dunia ini. Dan menjadi hak seorang pekerja, seandainya bosan dengan majikannya, dia boleh berhenti pada bila-bila masa. Terutama apabila dia adalah sorang pekerja yang berpengalaman. Untuk mendapat tawaran daripada syarikat yang berprofil lebih tinggi, bukan lagi suatu masalah baginya.


Winter holiday ini kalau dapat bermain skii pun seronok juga..


Dalam hal bertuhan ini, kita perlu sedar sentiasa, bahawa jawatan kita tidak lebih dari menjadi seorang hamba kepada Tuannya (Allah). Dan kita seharusnya berbangga dengan gelaran itu. Menyedari hal ini, apa yang perlu kita harapkan dari Allah adalah, bukan ganjaran pahala atau nikmat di syurga, tetapi keredhaan Allah yang akan merahmati segenap kehidupan kita lalu menjadikan kita tenang di bawah lembayung kasih sayang-Nya. Kita mengharapkan agar Allah menerima amalan kita yang bukan sahaja tidak seberapa, bahkan sedikitpun tidak dapat mambalas lautan nikmat yang kita rasai selama ini. Dan kita juga mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa kita yang tidak terkira banyaknya ini. Itulah sebenar-benar pengharapan dari seorang hamba kepada Tuhannya.

Kedua-dua elemen ini begitu penting untuk kita seimbangkan. Andai kita hanya punya rasa takut, maka kita akan menjadi pesimistik. Sekali melakukan dosa, seolah-olah tertutup sudah pintu pengampunan kepada kita buat selama-lamanya. Tetapi, kalau hanya berharap juga tidak jadi, kerana kita akan cenderung untuk terus melakukan dosa dengan harapan dosa itu akan diampunkan Allah, dan kita akan dijamin syurga. Siapa yang mampu menjamin dirinya akan masuk ke dalam syurga dan terlepas dari siksa neraka?

Islam adalah agama keseimbangan. Seperti mana Ia mengajak kita supaya mengimbangi hubungan dengan Allah dan juga manusia melalui ibadah solat dan zakat, seperti itu jugalah kita perlu mengimbangi rasa takut dan berharap kepada-Nya.

Dan yang lebih penting daripada itu, rasa takut dan berharap ini bukan hanya perlu disuburkan ketika dalam keadaan kritikal seperti peperiksaan sahaja, malah ia perlu dibajai setiap masa. Kerana Allah yeng merupakan Tuhan kita itu tidak pernah lupa daripada melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya. Maka apakah patut kita memohon ‘cuti’ daripada menjadi hamba-Nya? Moga-moga kita mampu untuk menjadi Muslim yang benar-benar Mu’min sepanjang masa…





p/s: mutiara kata dari angah:

Angah_: Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu terus mengambil ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup...

Begitulah juda setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah dia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja, kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia masih mengingatimu..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar