Jumat, 27 April 2007

Kesabaran yang berhikmah..


Bro Umar yang selalu menggelar dirinya 'miskin'


"Brother Hanafee, can you please find a place where I can stay with the Malaysian?, I really have to go out from my house in a week time" pinta Bro Umar dalam panggilan telefonnya malam tadi. Dalam hati, saya tahu benar bahawa beliau sangat-sangat memerlukan pertolongan kali ini. Beliau tidak akan meminta pertolongan sebesar itu melainkan penderitaan yang dialaminya sudah sampai ke kemuncak. Beberapa minggu yang lalu, beliau menceritakan tentang perihal seorang flatmate nya, seorang perempuan berbangsa Cina dari Tanah Besar yang begitu kasar layanannya dan langsung tidak menghormati beliau sebagai seorang ahli rumah. Pada permulaannya, beliau tidak punya pilihan melainkan untuk tinggal di rumah itu setelah melihat iklan yang ditampal di papan notis perpustakaan universiti. Namun, sejak tinggal di rumah yang terletak di Wharenui Road itu, 'keramahan' perempuan yang bernama Yee Yang itu sering membuatkan beliau hilang sabar. Entah apa yang dimusuhkan, saya pun tidak tahu.

Pernah sekali bro Umar menjemput saya makan malam di rumahnya. Sedang kami berbual-bual, Yang pulang ke rumah dengan muka masam mencuka. Mungkin dia mengalami tekanan di tempat kerja, desus hati saya,perlahan. Seketika kemudian, Yang keluar dari biliknya dengan tergesa-gesa ke bilik air. Sebaik keluar dari tandas, dia pergi ke dapur, melihat dapur yang agak bersepah (yang saya pasti bukan disebabkan oleh bro Umar), lalu terus menengking bro Umar dengan loghat English yang sangat sukar saya fahami. Saya agak terkejut. Berani dia menengking seorang Hafiz Al-Quran sedemikian rupa. Lalu bro Umar dengan tenang mengatakan "I'm not going to pay for the rent. Please respect me and calm down." Yang tidak menjawab, bahkan terus berlalu ke biliknya. Dia langsung tidak membuka ruang dan peluang untuk berbincang secara sihat dan matang. Pernah juga beberapa minggu sebelum itu, Yang mencampak barang-barang milik bro Umar dari biliknya ke luar rumah. Bukan itu sahaja, dia juga pernah menendang bro Umar yang cuba memujuknya supaya bertenang. Dia juga tidak mahu memulangkan bond rumah yang telah dibayar oleh bro Umar sebanyak $270 dolar. Lebih teruk daripada itu, dia pernah cuba memberikan gunting kepada bro Umar sekiranya bro Umar berani untuk membunuhnya!. Astaghfirullah. Saya pun tidak pasti apakah masalahnya yang sebenar sehingga dia sanggup bertindak sedemikian rupa. Mungkinkah kerana bro Umar mempunyai ramai kawan dan sering menjemput mereka ke rumah? Saya cuba berkira-kira. Namun, jawapan sebenar hanya ada pada diri perempuan itu, yang mana tidak mungkin untuk kami mengetahuinya.

Insiden malam semalam ibarat retak menanti belah. Yang sekali lagi cuba membuang barang-barang milik bro Umar ke luar. Dalam keadaan mempertahankan diri, bro Umar menolak Yang. Dia jatuh ke lantai. Bro umar menyuruhnya supaya bertenang. Dia lalu menelefon kawannya yang sebangsa dengannya, dan kemudian terus menelefon pihak polis dengan pembuat aduan (false report) kononnya bro Umar telah melakukan 'Sexual Harrasment' ke atasnya. Sedangkan jelas, apa yang dilakukan bro Umar adalah untuk mempertahankan diri dan barang-barang kepunyaannya. Polis datang seketika kemudian. Perempuan itu dalam keadaan menangis teresak-esak cuba meyakinkan pegawai-pegawai itu tentang perbuatan bro Umar. Saya rasa pastilah pegawai itu sangat sukar untuk memahami kata-katanya, lebih-lebih lagi apabila dia dalam keadaan yang sangat emosi dan menangis pula.

Namun, menyedari beliau di pihak yang benar, bro Umar menceritakan semuanya dengan tenang. Alhamdulillah, dengan izin Allah, pegawai-pegawai itu mempercayai kata-kata bro Umar lantaran ketenangan dan juga kejujurannya. Saya amat kenal dengan beliau. Jangan sekali-kali bermain api dengannya. Meskipun orang Egypt sepertinya sangat peramah, namun perwatakannya boleh berubah secara drastik apabila berada dalam keadaan marah. Namun dalam hal ini, beliau mampu lagi untuk bersikap tenang dan sabar. Sikap yang saya kagumi apabila berada dalam keadaan tertekan. Di situlah datangnya pertolongan Allah.

Saya cuba membantu beliau dengan memberikan alamat kediaman beberapa orang rakan. Saya tidak dapat mengajaknya tinggal bersama, lantaran perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan ahli rumah yang lain. Tambahan pula, kami mungkin akan berpindah ke Uni Hall semester hadapan atau selewat-lewatnya hujung tahun ini. Harapnya, beliau dapat berpindah dalam masa seminggu dua ini. Rancangannya utk berkahwin pada Jumaat depan terpaksa ditangguhkan, sehingga masalah ini selesai. Meskipun bakal isterinya, Nouha masih berada di Egypt, perkahwinan itu masih tetap boleh dilakukan. Beliau akan membawa isterinya bersama pada penghujung Disember nanti. Saya tumpang gembira untuknya.

Saya cuba mententeramkan perasaanya (walaupun saya tidak layak sebenarnya). Saya mengajaknya melihat contoh Sirah Nabi ketika baginda dan para sahabat diseksa dengan teruknya semasa di Mekah, sehinggakan beberapa sahabat tidak tahan lalu memohon izin Rasulullah untuk membalasnya, jawab nabi, bersabarlah kerana Allah masih belum menurunkan wahyu. Hal ini berterusan sehinggalah umat Islam berhijrah ke Madinah, punya kekuatan dan dalam keadaan yang betul-betul bersedia, barulah mereka memerangi kaum Musyrikin. Perang bertujuan mempertahankan diri. Islam ini sifatnya memelihara dignity, juga maruah. Fakta ini juga menjadi hujah menolak dakwaan bahawa Islam itu agama terrorrist. Andai kita dianiaya, kita perlu bertindak mempertahankan diri dan nyawa. Bukan sekadar menyatakan sabar dan terus bersabar. Itu sabar yang salah konsepnya.

Sabar yang sebenar adalah kita berhenti sejenak (pause), untuk berfikir apakah tindakan paling tepat yang patut kita ambil, dan kemudiannya bertindak dengan bijak, sesuai dengan waktu dan keadaannya. Contoh ini sangat jelas ditunjukkan oleh baginda Nabi. Islam itu tempatnya di atas, bukan boleh diinjak-injak sesuka hati. Maka bertitik tolak daripada itu, bro Umar cuba mengatur strateginya, untuk membawa kes ini ke mahkamah, "so that the woman will have to pay for her lie".

Sekilas, timbul pula rasa kasihan dalam kekaguman saya melihat beliau yang banyak sekali diuji dengan cabaran yang seandainya digalaskan ke atas bahu ini, pasti jatuh rebahlah saya ke bumi. Dalam hati, saya terus berdoa semoga Allah memudahkan urusan hidup beliau yang mewakafkan diri untuk berdakwah ke jalan Allah..Allahumma Ameen..



Tidak ada komentar:

Posting Komentar