Senin, 30 Oktober 2006

Post Raya Syondrome

Alhamdulillah...tamat sudah sebulan berpuasa.. Raya tahun ini mengundang pelbagai cerita menarik untuk dikongsi. Apa yang pasti, ia lebih meriah berbanding tahun sudah. Pagi Aidilfitri diisi dengan solat hari raya dan jamuan ringan di Ilam Common Room. Apa yang menariknya, 'Clown' disewa untuk menghiburkan kanak-kanak, tetapi menjelang tengahari, baru saya sedar, yang mengerumuni clown itu semuanya abang-abang dan kakak-kakak sahaja (penulis juga tidak terkecuali). hm mungkin ketika kecil kami tidak berkesempatan untuk merasa itu semua. Jadi, di kesempatan yang ada, di hari raya pula, gunakanlah sebaik-baiknya bukan?...=)

Keesokan hari, seronok sakan berjalan raya ke rumah post grad dan PR beramai-ramai. Saya pasti, suasana sebegini pasti sukar didapati di tanah air, lantaran rakan-rakan 'sekepala' kebanyakannya pulang ke kampung masing-masing untuk beraya. Kesannya, setiap kali pulang ke kampung, kita akan terasa seperti orang asing (termasuklah saya juga) lantaran sudah tidak kenal akan saudara-mara terutama yang jauh, bau-bau bacang. Mana tidaknya, kebanyakan masa sepanjang tahun dihabiskan bersama rakan-rakan di bandar, maka apabila pulang ke kampung, jawabnya tidak kenallah saudara-mara yang jauh-jauh itu. Kerana itu lah, budaya ziarah-menziarahi amat penting kita pertahankan. Jangan biar malas menguasai diri. Mahu menonton tv, alasan yang selalu bermain di bibir. Jika kita berterusan begini, tidak mustahil suatu hari kita akan bermuka sombong, walaupun dengan saudara kita sendiri!!

Lebih menarik, buat pertama kali, "Jejaka 301" membuat open house, atau lebih dikenali dengan rumah terbuka. Pengalaman yang amat menarik untuk dicoretkan. Bukan mudah untuk kami melakukannya buat kali pertama, tetapi apa pun yang berlaku, kami cuba sedaya-upaya. Alhamdulillah berhasil. Menu utama:
1) Nasi Kerabu Kuning (Yellow to Wednesday Rice)
2)Kari Ayam (Chicken Curry)
3) Ulam Raja (Bukan Raja Riduan yer..)
4)Nasi Impit (Squished Rice)
5)Kuah kacang (You-are-so-nutty-sauce)
6)Muffin (Half fat as it is already cut into half)
7)Sirap Selasih Tanpa Selasih
8)dan banyak lagi...malas nak taip

Tujuan kami memikirkan nama-nama Inggeris untuk hidangan kami adalah, kami beranggapan ramai juga rakan-rakan non-Malay akan datang. Sekurang-kurangnya mereka faham. Tetapi hanya Bernard dan Lam sahaja yang hadir. Tidak mengapalah. Apa-apa pun, kami belajar sesuatu daripada rumah terbuka itu. Bak kata seorang rakan yang pandai memasak, 'makanan biar berlebih, jangan tidak cukup'. Jika tidak, itulah akibatnya. Barulah terpaksa membeli ayam, dan beberapa masalah susulan berlaku. Tidak mengapa, yang penting kami berasa puas hati dan lega segalanya telah selesai.

Mungkin kerana kejutan penerimaan makanan yang pelbagai jenis dalam masa serentak, saya diserang demam dan beberapa penyakit lain (sensitif untuk disebut di sini). Hinggakan termuntah-muntah. Nasib baik perut tidak meragam semasa periksa. Kelmarin, ada dua lagi jemputan majlis hari raya. Saya amat berat hati untuk pergi, lantaran punya exam keesokan harinya, sedangkan saya baru selesai membaca 50% daripada keseluruhan subjek. Tetapi demi tidak mengecewakan jemputan orang yang menjemput, saya gagahkan juga kaki untuk menekan minyak kereta. Selesai beraya, saya tertidur lantaran kepenatan. Baca pun tidak memberi kesan. Malamnya, lantaran bacaan sendiri tidak berkesan, saya berkunjung ke rumah rakan-rakan Maidstone. Ramai sungguh mereka di sana. Saya juga tidak dapat menumpukan perhatian sebenarnya. Kepala terlalu bercelaru. Gerun saya melihat rakan-rakan membincangkan soalan past year, sedangkan saya seolah-olah tidak tahu apa-apa. Ditambah pula dengan perut yang meragam, makin menjadi-jadi peningnya. Akhirnya, setelah selesai membuat past year (menyalin jawapan sebenarnya), saya pulang
dengan harapan dapat mengulangkajinya di rumah. Tetapi tidak juga. Cek emel dan tertidur. Pagi esoknya, Alhamdulillah, Allah menggerakkan saya untuk membaca latihan past year yang saya tinggalkan malam tadi. Maha suci Allah, soalan exam adalah sama seperti latihan past year yang baru saya baca. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah kerana memberi kemudahan kepada saya. pengajaran daripada cerita ini:
1) Penuhi hak saudaramu yang menjemputmu
2) Jangan berusaha sehingga last minute, kerana nasib baik tidak selalu bersama kita
3) Pohonlah bantuan Allah di saat tenang dan cemas. InsyaAllah Allah tidak akan membiarkanmu keseorangan.
4) Put our trust in Allah.

Saat ini, perut semakin pulih lantaran ginger beer yang berjaya mengeluarkan angin-angin yang tidak perlu tetapi suka untuk bermukim di dalam perut saya. Semuanya atas kekuasaan-Nya jua. Syukur. Sekian..

Minggu, 22 Oktober 2006

Perginya Ramadhan yang dilupai..

Alhamdulillah, sampai juga umur saya Allah pinjamkan ke penghujung Ramadhan ini. Suatu tempoh 'latihan diri' yang penuh bermakna. Malam ini, entah kenapa, saya terasa amat sedih. Mungkin kerana perginya Ramadhan ini tanpa sempat saya membersihkan dan memperbaiki diri sebaik-baiknya. Mungkin juga kerana saya gagal menyempurnakan segala ibadah yang dirangcang selengkapnya. Adakah saya masih punya kesempatan temu Ramadhan tahun hadapan? Saya pun tidak pasti. Moga ibadah saya ini diterima. Moga saya dapat istiqamah, kerana salah satu tanda sesuatu amalan diterima ialah, istiqamah dalam melakukannya.
Esok petang saya akan mengikut abang Hamdan menaiki Cashmere Hill untuk melihat anak bulan. Saya amat berharap ia akan kelihatan esok, lantaran Mekah telah pun menyambut Aidilfitri hari ini. Australia pula esok hari. Tambahan pula, saya punya peperiksaan EMATH271 pada pagi 25/10 nanti. Apa-apa pun, saya serahkan kepada Allah S.W.T. untuk menentukannya. Buat akhirnya, suka sekali saya memetik serangkap pantun yang dipopularkan oleh Encik Tat:

Anak sotong di dalam laut,
Anak laut di dalam sotong,
Itu sotong berenang di dalam laut,
Tidak terdapat di taman burung.


Salam Aidilfitri kepada semua. Ampun maaf saya pohonkan atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Moga berbahagia di hari lebaran mulia...

Sabtu, 30 September 2006

Berbangga dengan gelaran HAMBA..

Kala ini, jam 4 pagi setelah 'daylight saving' bermula, mata saya masih belum mahu lelap menerbangkan diri ke alam mimpi..entah kenapa, badan terasa penat, namun mata masih tidak mahu tidur. Harap-harap 'biological clock' saya tidak berubah lagi..

Sejenak terkenang peristiwa hitam 27 September, Alhamdulillah saya kini beroleh kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan redha tanpa mempersoalkan nasib yang menimpa. Saya teringat suatu cerita, seorang bapa di Kedah, anak perempuannya dirogol dan dibunuh oleh PATI Indon, (Pendatang Asing Tanpa Izin). Bapa itu meratap sedih lantas mempersoalkan taqdir, mengapa suratan sebegitu rupa harus menimpa dirinya....Dalam suatu ketika lain, saat Tsunami melanda yang menyaksikan gelombang ombak itu menelan dan mengebumikan beratus-ratus nyawa, muncul seorang bapa menjawab persoalan pemberita akan kematian kesemua ahli keluarganya. Dengan tenang dan penuh kesabaran, beliau menjawab...semuanya itu adalah pinjaman Allah, sekarang telah tiba masa Allah mengambilnya semula...Mendengar jawapan itu, hati saya tersentuh dan terharu...betapa kuatnya jiwa si ayah itu. Saya pasti, jawapan itu adalah gambaran jiwa dan hatinya yang betul-betul yakin dan percaya akan taqdir Allah yang maha indah. Cuba kita bayangkan, keluarga yang telah dibina dengan jerih penat selama berpuluh-puluh tahun hilang dalam masa beberapa minit sahaja di hadapan mata. Andai kita berada di tempat si ayah itu, tanpa jiwa yang kuat, mampukah kita menerimanya dengan redha, lantas menzahirkan sebuah jawapan setabah itu?

Persoalan ini sebenarnya menyentuh kesedaran akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Ibarat seorang hamba raja yang diberikan makan, perlindungan dan pakaian, dia menggunakan segalanya tanpa rasa memiliki secara kekal akan nikmat-nikmat yang dikecapinya itu. Lantas, bila sahaja nikmat itu diambil semula, dia tetap berasa bersyukur kerana pernah menerima nikmat itu selama ini. Apakah relevannya dengan realiti hidup kita hari ini? Ya, kita adalah hamba kepada Raja segala Raja. Allah Subhanahu Wata'ala. Dia lah Tuhan yang memberikan rezeki dan nikmat tanpa berkira-kira kepada kita sejak di alam rahim lagi, (Alam rahim adalah alam kasih sayang seorang ibu kepada anaknya). Nikmat demi nikmat dilimpahkan, tanpa mengira kita bersyukur, lupa, mahupun mendustakannya. Namun, Nikmat adalah ujian. Kerana itu ramai manusia terlupa akan dua perkara:
1) dirinya masih lagi seorang hamba
2) nikmat yang dikecapi tiada satu pun miliknya yang hakiki

Oleh kerana mereka terlupa akan 2 perkara penting ini, maka mereka menjadi cinta kepada nikmat dunia, sehingga terlupa kepada pemberi nikmat itu sendiri. Umpama seseorang yang terlalu memuja sesebuah hadiah, lebih daripada pemberi hadiah itu sendiri. Pelik bunyinya bukan? tetapi hakikatnya itulah yang berlaku pada manusia kebanyakan...

Saya teringat akan cerita seorang pengembala dan kambing-kambingnya yang banyak. Menariknya, pengembala ini menternak kambing-kambingnya mengikut kelompok-kelompok keluarga. Setiap keluarga kambing, ditempatkan di dalam kandang berasingan. Suatu hari si pengembala ingin menyembelih 4 ekor anak kambing daripada sebuah unit keluarga. Maka si pengembala itu pun bertanya kepada kedua ibu bapa kambing itu,"Bolehkah saya menyembelih 4 ekor anak-anak kamu?". Maka apakah jawapan ibu kambing yang menyayangi anak-anaknya itu? Sudah tentu tidak, kerana ia amat kasihkan anak-anaknya yang comel dan manja, walaupun mandi bukan kebiasaan harian mereka. Persoalannya di sini, wajarkah si pengembala itu bertanyakan soalan sedemikian kepada ibu dan bapa kambing-kambing itu? Jawapannya tentulah tidak wajar, bahkan tidak perlu, lantaran bukan sahaja anak-anak kambing itu, malah kedua ibu-bapa mereka juga adalah milik si pengembala. Terpulanglah kepada pengembala itu untuk melakukan apa sahaja, mengikut kehendak dan kebijaksanaannya. Allah S.W.T adalah pemilik hakiki setiap makhluk di muka bumi. DIA lah pemilik si anak, ibu, bapa, bahkan sehingga nenek moyang berabad generasi lamanya. Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Sebagai hamba, apakah kita layak untuk mempersoalkan qada' dan qadar Allah, hanya kerana ia membunuh rasa selesa kita hidup di dunia ini? Pastikah kita bahawa setiap sesuatu yang kita suka membawa kebaikan kepada kita atau sebaliknya? (rujuk 2:216) Inilah jawapan kepada si ayah yang meratapi kematiannya anaknya seperti yang disebutkan sebelum ini.

Sedarlah, bahawa diri kita adalah HAMBA ALLAH. Meskipun kita KAYA, biarpun kita SIHAT, walaupun kita BERKUASA, namun semuanya itu tidak seharusnya membiaskan kita daripada mengenali hakikat diri yang sebenar. Kita tetap hamba. Redha dan bersyukur dengan gelaran itu. Untuk menjadi redha, kunci yang perlu dipegang adalah BERSANGKA BAIK kepada Allah S.W.T. Biarpun terkadang sukar, namun berusahalah untuk meyakininya. DIA adalah seperti mana sangkaan hamba-Nya. Dengan itu, insyaAllah, kita akan mampu menerima segalanya dengan tenang dan sabar, seperti mana si ayah yang redha menerima pemergian kesemua ahli keluarganya..Moga SIKAP ini menjadi contoh teladan buat kita di hari muka...

Jumat, 29 September 2006

Rahmat ujian ini...

"Harus ada rasa bersyukur, di setiap kali ujian menjelma..itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa" ...Bait lagu ini begitu jelas terngiang-ngiang di minda setiap saat dan masa...Alhamdulillah, masih gagah jua diri ini untuk melafazkan rasa syukur...syukur tidak terhingga atas ujian yang singgah menjengah tahap kesabaran dan tawakal kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya kala ini terasa benar rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah, lantaran mampu tersenyum dan berasa tenang di sebalik musibah yang menimpa.

Malam itu ketika berada di bengkel, saya merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku. Puas saya mengambil langkah berhati-hati semasa menggunakam mesin 'lathe', tetapi kemalangan berlaku juga. Hati saya menyatakan sesuatu yang buruk mungkin terjadi. Saya tidak tahu kenapa, tetapi rasa itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya hilang mood untuk membuat kerja. Jam 10, Iqbal menelefon, tanyakan bila bengkel saya tamat. Jam 10.30, setibanya saya di rumah, perasaan menjadi berdebar-debar pula. Di ruang tamu, ramai rakan-rakan telah berkumpul. Semuanya menyuruh saya bersabar. "Instinct" saya semakin kuat. Setibanya di pintu bilik, pemandangan saya membenarkan apa yang saya rasa buat sekian lama. Malam itu, rumah kami telah dipecah. Barang-barang saya paling banyak diambil. Laptop, kamera digital, 3 pasang jam, handphone,webcam, ipod shuffle, wang tunai dan beg antara item yang 'selamat' dibawa lari..Perasaan bercampur baur. Laptop yang di dalamnya terdapat dokumen-dokumen penting, gambar-gambar kenangan, jam tangan pemberian abang saya, kamera yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan selama berbulan-bulan...setiap satunya mempunyai 'sentimental value' yang tersendiri...Tidak tahu apa hendak dikata. Keadaan amat sukar buat diri saya untuk menjadi tenang di kala itu. Hendak marah, tidak berguna. Hendak menyesal pun tiada hasilnya. Saya menjadi semakin tertekan apabila cuba menghubungi keluarga di tanah air, tetapi gagal semuanya. Mujurlah ada mereka yang menenangkan perasaan. Saya bersyukur.

Lantaran tidak tahu apa yang harus dibuat, saya menunaikan solat dan membaca al-Quran. Baca semahu-mahunya. Hayati segala maksudnya. Kebetulan ayat yang dibaca bertepatan dengan apa yang sedang terjadi. Saya menangis terharu, Allah memberikan bantuannya pada jalan yang tidak disangka-sangka. Sejurus membaca ayat-ayat suci itu, perasaan saya berubah menjadi tenang. Saya mula dapat menerima apa yang berlaku. Sejurus selepas itu, saya mendapat panggilan dari keluarga di tanah air. Perasaan menjadi lega dan kembali stabil. Alhamdulillah, segala syukur saya panjatkan kepada kepada Allah S.W.T. Dialah yang bisa membolak-balikkan hati. Zat yang bisa menyempitkan dan melapangkan sesiapa yng dikehendaki-Nya. Saya berdoa pada-Nya agar mengekalkan ketenangan ini...biarpun sesekali terasa 'kehilangan sesuatu' setiap kali menjengah ke pintu bilik..namun saya amat yakin dan percaya, Allah itu maha Adil, tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia...Pasti dan PASTI, ada HIKMAHNYA.

Segalanya tersurat pada suatu lakaran terindah, yang unik buat empunya diri. Mungkin, mata kasar yang culas tidak bisa melihat "keindahan" sulaman taqdir yang menimpa ini, tetapi yakinlah dari pandangan Allah, ia adalah coretan terbaik, istimewa buat insan bernama manusia.

Peristiwa kali ini benar-benar mengajar saya, bahawa harta dunia ini hanya PINJAMAN semata-mata. Semuanya HAK ALLAH. DIA bisa mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Andai kita cinta pada dunia, PASTI dan pasti kita akan menangisinya. Kala ini saya cuba mencermin kembali watak-watak manusia yang berusaha siang dan malam mengumpul harta kekayaan, sehingga terkadang menngakibatkan kesusahan kepada orang lain dan mengabaikan tanggungjawab agama. Alangkah kasihannya mereka, punya matlamat hidup yang singkat dan tidak tentu lagi mampu digapai oleh tulang empat kerat...

Walaubagaimana pun, saya sedaya upaya cuba menanamkan yakin di dalam hati, bahawa setiap sesuatu yang diambil, Allah akan menggantikannya dengan gantian yang jauh lebih baik, andai kita sabar, ikhlas dan redha...Saya akhiri entri ini dengan lirik sebuah nasyid yang penuh bermakna....

" Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap barukan terasa
Bila hilang di dalam genggaman

Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Indah di mata namun tiada

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu
Ku harap tumbuh
Dibajai bangkai nafsu yang kubunuh"

p/s: Ada pepatah yang saya ubah, sayang ilmu ajar-ajarkan, sayang harta sedekah-sedekahkan..moga diri kita tenang di dalam rahmat Allah yang berkekalan...

Senin, 11 September 2006

Perasaan...

Hm feeling is a nature...perasaan tu fitrah....and our feelings towards somebody is also a nature....we tend to "like" a person with a good manner, kind, beriman....and the list goes on...nothing wrong about it....the feelings come without being called or invited....and have no right or power to prevent it from appearing in our heart...but when it came by, we have 2 choices.The first one is to ignore it, or the 2nd one to "layan" the feelings itself. For the first choice, it is called "preventing is better than cure"...if we are not ready for all these stuffs or if we already have someone in our heart....this is exactly the right choice...but for the second choice, it depends on us...because once we choose to go deep into the feelings, yg mule2 suka tu akan jadi sayang....sooner or later akan lahirlah what we called..."cinta"...at that moment of time, kita xnampak ape2 dah....everything seems to look 'beyoutifool'....kerana cinta, yang pahit manis dirasa...n mcm2 lagi la rhyme2 lagu yg best2....Remaja & cinta ibarat lagu & irama...can never be separated...& i admit the fact that masa remaja ni lah perasaan tu mula tumbuh mekar mewangi di taman hati masing-masing....for those yg dah ade pengalaman tu....tau la mcmana rasanya kan...saat mule2 bersemi....


But then the question here is that, sejauh mana cinta yg kita puja tu adalah cinta yg betul?...just take a moment to think back, why do i love her or him? Kerana rupa ka? characteristic ka? harta? family? mungkin kerana dia baik? caring and loving? or just saje2....coz orang lain pun dah ade...maka aku pun perlula ade jugak...tak gitu? (just remember, it's not necessary that what most people do is the RIGHT thing..)...tepuk dada tanya hati, tanya perasaan, tanya diri...& the most crutial is to ask our iman....


If our answer is among the list, then i can say, that are not the true love...what if one fine day, our beloved one dah x cantik, x kaya, accident n cacat anggota...n mcm2 lg musibah menimpa...or, we come to find somebody nicer than her or him....will we still be loving her or him? At that moment of time, only the true love will remain unaffected....


So what is the true love?...hmm...cinta antara lelaki & perempuan itu tiada salahnya....selagi mana cinta itu dilayarkan pada bahtera yang telah diberi panduan oleh Allah & Rasulnya...Niat cinta itu yg pertama skali...mestilah kerana Allah...meaning that...we perceive love from Allah's point of view...a tauhidic-mind-set...ape yg Allah suke,tu yg jadi keutamaan kita, ape yg Allah larang, tu yg kite jauhi...kita selalu doa: Ya Allah, cintakanlah aku pd hamba-Mu yang melabuhkan cintanya pada-Mu.........


hmm..n then, when we come to find the right person, cinta yg nak dibina tu...must be ended dengan gerbang perkahwinan...huhu...maybe sounds too early for that....but if we have no tendency to end it with marriage, just forget it....it's a waste of time, money, air mata...etc...btul ni...kalo setakat cinta monyet, puppy love (sebut anak anjing kang marah pulak)...baik tak payah...tu sume cinta yg tak matang...once we are in love, be serious in it...bukanlah maksudnyer x boleh senyum langsung...but be serious in the sense that we have our ultimate aim...matlamat...nak membina baitul muslim...(keluarga islam)..baru la semuanya akan didasari dengan syariat yang tidak dilanggar, hati yg sentiasa akan dijaga drpd maksiat......cinta yg berteraskan nafsu..for example, because si 'dia' tu...cantik mcm batik or tampan mcm papan semata-mata, its no difference with the love between those animals yg ade dekat Orana Wild Life Park tu..(tiket masuk 14 dolar je)..... because once we 'get' it, kita akan bosan...n buang je mcm sampah...:Habis madu sepah dibuang:...


Cinta yang hakiki...cinta yang setiasa dipandu dengan aqidah, iman, syariat dan akhlak islam yg baik....jgn sampai cinta tu mengatasi keutamaan ke atas perkara2 yg lebih penting...for instance, study, kasih sayang pada ibu bapa n keluarga, kawan2 yg lain...and other important things to be listed.....and yg paling penting..jgn sampai cinta tu mengatasi CINTA kita kpd ALLAH...(cintakah kita?).....


Semasa bercinta tu....selalu kene ingat, Allah sentiasa melihat kita..(even setiap masa pun Allah tetap melihat kita)...sbb masa2 mcm ni lah...syaitan selalu memasang umpan...cucuk jarum...dari lirikan mata timbul bicara turun pula ke hati...huhu...imam ghazali pun kata...start ngan pandang2...then senyum2...mesej2...borak2....jumpa2...and akhirnya....(boleh pk sendiri kot)...so make sure ar...syariat tetap paling utama yg kene dijaga....barulah keberkatan tu ada....
OK...kalau kite boleh adapt dgn sifat2 Cinta sejati ni...maka persilakanlah dgn segala hormatnya utk bercinta....otherwise, pikir baik2 beb...


hmm..fitrah cinta itu suci....cintailah CINTA...kerana di situlah terbitnya rasa...peliharalah cinta, moga kita akan bertemu lagi di syurga-Nya...tempat mula-mula bersemi rasa cinta antara Adam & Hawa...


This is just a piece of remembrance for me, and for all my 'beloved friends' out there.....

Emak...jangan pergi dulu

"Emak, jangan pergi dulu....". Aku bermimpi lagi.Sedih menyelubungi sayu perasaanku tatkala terjaga dari lena. Kelopak mata ini berderaian titisan jernih. Sudah beberapa kali emak muncul dalam mimpiku.Tiap kali bayangannya hadir, seluruh tubuhku terasa sayu. Namun mimpi kali ini sungguh berlainan sekali. Aku melihat emak baru sahaja 'pergi', sedangkan dia telah lama meninggalkanku ketika aku masih di bangku sekolah menengah. Peliknya mimpi ini kerana terlalu banyak halangan terpaksa dihadapi ketika ingin menghantar jenazahnya ke kubur. Apakah itu suatu petanda yang tidak baik? Aku tidak pasti. Tuntas aku terfikir bagaimanakah keadaan emak di kamar sempit di perut bumi yang sunyi itu. Kupanjantkan doa, setulusnya, moga Allah merahmati emak dan menempatkannya di kalangan ruh-ruh hamba yang dicintai-Nya. Dan sesungguhnya mimpi itu benar-benar menerkam seluruh benakku hingga membuatkan aku mengelamun dan berfikir tentangnya seharian lamanya. Baru aku sedar, aku telah 'jauh' daripada emak. Aku telah culas mengingati dan mendoakannya. Sedangkan dia tidak pernah mengeluh mendidikku ketika kecil.

Suatu peristiwa yang tidak mungkin dapat kulupakan, ialah apabila emak mendukungku ketika aku berusia 5 tahun untuk berjumpa dengan doktor. Tabahnya dia membawaku dengan penuh susah payah, tidak tergambar di matanya resah, asalkan diri ini sihat dan terus membesar. Ah, air mata ini bergenang lagi. Meskipun dia adalah seorang nenek, lantaran terlalu rapat dengannya, aku memanggilnya emak. Dia tidak pernah memarahiku, biarpun dikenali dengan sifat garangnya.

Seketika, terimbas kembali detik-detik emak meninggalkan kami semua. Segalanya bermula apabila emak ditimpa kemalangan ketika aku berada di tingkatan dua. Rentetan daripada kemalangan itu, sakit emak mula bertambah, sehingga suatu hari doktor mengesahkan bahawa emak menghidap barah tulang. Kerana itu emak terpaksa berulang-alik ke hospital pakar untuk mendapatkan rawatan laser. Hatiku mula resah. Badan emak semakin hari semakin susut. Aku yang tinggal di asrama ketika itu berusaha sedaya mungkin mencari peluang untuk pulang ke kampung menjenguk emak. Bermula dengan jalan bertongkat, kemudian berpindah ke kerusi roda dan lama kelamaan hanya bisa terlantar di atas katil. Aku semakin risau.

Hampir dua tahun emak sakit.Ketika berada di tingkatan tiga, aku semakin kerap pulang ke kampung. Sejurus sampai di muka pintu aku, terus mendapatkan emak. Aku cuba menjaganya sekadar termampu. Menyuapkan makanan, memberi ubat dan berbual-bual mengisi kekosongan hari-harinya yang sunyi. Namun, menjelang peperiksaan PMR, aku tidak dapat selalu pulang. Biarpun hanya sekadar mendengar suara, aku menelefon emak setiap minggu. Hinggakan pada minggu terakhir sebelum peperiksaan, emak datang menjengukku dengan ditemani bapa saudaraku. Datangannya dengan pesan yang mudah tetapi bermakna.."belajarlah sungguh-gungguh sampai berjaya". Benar, kata-kata yang terhambur dari bibirnya itu ibarat perangsang sumber inspirasi yang berjaya menghapuskan perasaan risauku terhadap kesihatannya. Aku mengambil peperiksaan dengan tenang.

Selepas tamat peperiksaan, aku pulang ke kampung. Namun demam yang menyelubungiku membuatkan aku hanya mampu terbaring di kerusi sofa tidak jauh dari tempat emak menghabiskan masa sehariannya. Ibu pula mengajakku pulang ke rumah, lantaran lama tidak berjumpa. Biarpun hati ini berat meninggalkan emak, namun aku tetap taat akan perintah kedua orang tuaku. Beberapa hari sebelum hari raya aidilfitri menjelang tiba, keputusan PMR keluar.Alhamdulillah Allah mengurniakanku kejayaan.Namun, ketika itu jugalah aku menerima panggilan dari kampung, dalam sedu sedan, menyatakan bahawa emak sedang sakit tenat. Sanak saudara telah pun berkumpul. Lalu kami terus bersiap dan bergerak pulang dengan hati penuh debaran. Sepanjang perjalanan, hatiku tidak henti-henti mendoakan emak. Kami hampir ditimpa kemalangan di suatu simpang, tetapi taqdir Allah mengehendaki kami meneruskan kehidupan.

Saat tiba di kampung, aku terus mendapatkan emak.Suasana rumah dipenuhi tangisan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Aku membisikkan perlahan di telinga emak,"Alhamdulillah, Ajib berjaya dapat 9A". Namun waktu itu, tiada jawapan, mahupun senyuman dari wajah insan tua itu. Hanya deruan nafas turun naiknya yang dapat menghiburkanku.

Sehari sebelum menjelangnya fajar syawal, emak diubati oleh seorang ustaz. Alangkah terkejutnya kami melihat emak dapat bercakap kembali. Perasaan yang malap berbunga kembali.Moga-moga emak sihat, doaku pada Yang Esa. Namun, taqdir Tuhan mengatasi tadbir manusia. Di pagi syawal yang hening, emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ramadhan tahun itu adalah Ramadhan yang terakhir baginya. Fajar syawal kusambut dengan penuh redha dan pasrah pada ketentuan Allah. Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.

Emak, terima kasih atas curahan bakti dan kasih sayangmu. Hari ini, aku terus mengorak langkah mengejar cita-cita, berbekalkan kata-semangatmu yang mekar tidak pernah pudar.Hanya doa yang berpanjangan menjadi hadiah yang indah buatmu selagi tubuh ini masih bernyawa. Maafkan diri ini kerana sering melupaimu. Di saat hidupku suram seperti ini, kenangan bersamamu bisa menyuburkannya kembali.Aku bersyukur atas kurniaan tidak ternilai ini...

Pilihan itu...

Mengapakah dalam hidup ini kita sering tersilap dalam membuat pilihan? sering terjadi kita memilih apa yang kita sangkakan indah, sedangkan hakikatnya buruk buat kita. namun kita tidak pernah akur dan mahu mengaku kesilapan itu, kita terlupa bahawa kita punya batas akal dan kemampuan untuk menilai...dalam pada itu, acapkali juga kita menjauhi sesuatu yang buruk pada pandangan kita, sedangkan realitinya ia adalah coretan terbaik buat kita...dan kita terus mengulangi kesilapan itu lagi dan lagi...alangkah ruginya kita...bila pandangan mata dijadikan kayu pengukur, sedangkan pandangan hati itu yang hakiki...pandangan mata itu menagih perhatian pada sesuatu yang dapat dilihat zahirnya, lantas terpesonalah pada keindahan rupa duniawi yang menggoda. Sedangkan pandangan hati itu meruntun niat yang ikhlas, jiwa yang bersih, batin yang suci, agar thabat taat dan setia, biarpun terpisah beribu batu jauh di mata...
Biarpun begitu, bukan mudah untuk membuat pilihan...mudah dikata namun sukar dikota,lantaran hidup ini tidak sunyi dari gangguan nafsu dan bujukan syaitan...hingga terkadang terhijab pandangan hati itu oleh dosa-dosa yang dilakukan...dari hari ke hari semakin gelap dan menghitamkan...hingga tiada lagi sinar cahaya buat menyuluh perjalanan yang sukar...lalu tersasarlah kita ke lembah kesalahan yang berpanjangan...saat itu akan terasa begitu sukar untuk kembali ke pangkal jalan...hati yang merintih tiada lagi didengari..nafsu yang utama, dunia yang dicari...

Memilih cinta ibarat memilih dari pintu yang beribu dengan hanya kunci yang satu..setiap pilihan membawa kesudahan yang berlainan...jika tepat, maka berbahagialah...namun jika tersalah, belum tentu ada jalan undurnya...biarpun begitu, ia memerlukan kekuatan...perlukan siraman kasih sayang dan baja setia...menagih curahan pengorbanan dan limpah taat pada-Nya. Andai kita telah pun menjumpainya, maka pertahankanlah, sebelum ia terlepas akibat 'keselesaan' yang kita rasa..tanpa melakukan apa-apa. sedangkan hati itu sedang cuba ditawan dengan bersungguh-sungguh...bimbang ia tenggelam lantaran kita yang diam...cinta perlukan kekuatan...agar kita dapat berpaut erat padanya tanpa terlepas lagi...kuatkanlah genggamann kita, lakukanlah sesuatu agar ianya sentiasa terpeliahara dalam rahmat-Nya...berdoalah moga hati kita akan terus kekal istiqamah pada jalan-Nya...cinta ini, tidak bisa dijual beli, belum tentu dapat dicari ganti,...kerana fitrah cinta itu sememangnya suci...jangan dicemari lagi...moga sentiasa di dalam rahmat-Nya yang abadi...