Kamis, 10 Mei 2007

Selamat Pengantin baru...Semoga berkekalan..


Ini gambar hantaran hiasan, bukan milik bro Umar

Entry ini saya tujukan khas buat bro Umar yang melangsungkan perkahwinannya jam 7 pagi ini waktu NZ. Walaupun ia dilangsungkan secara jarak jauh, namun ikatan hati itu tidak akan mampu dipisahkan oleh jarak yang beribu batu jauhnya. Saya tumpang gembira, malah sedikit teruja pula. Sesekali teringat, ibu pernah berkata, "Kalau nak makan nasi minyak, jangan ade fail, balik cepat". Satu dorongan yang begitu bernas, saya kira. Pembakar semangat yang tidak pernah luntur..=)

Doa saya, semoga bro Umar dan isterinya, Nouha akan bertemu ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan yang mendatang...


Permata Untuk Isteri

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku




Selasa, 08 Mei 2007

Tidak Sihat...


Pemandangan langit selepas solat Subuh

Hari ini saya tidak sihat. Sejurus pulang dari Solat Subuh di surau, perut saya terasa sebu. Seperti ingin muntah pun ada. Dahi saya panas. Kepala terasa pening dan berpusing-pusing. Harapan untuk study tidak kesampaian; saya terpaksa berbaring, biarpun esok saya mempunyai test bagi subjek Thermo-Fluids Transport yang saya sendiri tidak yakin untuk menjawabnya. Entahlah, saya cuba mempersiapkan diri semampu mungkin, membuat yang terbaik dan selebihnya bertawakal kepada yang Esa.

Saya kira perbaringan saya itu untuk seketika cuma, tetapi saya pasrah apabila mata tercelik semula tatkala jam telah pun menunjukkan 12 tengahari. Ahh..terlepas 3 kelas hari ini. Saya teringat, baru semalam saya mengatakan kepada Rahim dan JJ yang saya tidak pernah miss lecture lantaran bangun lewat sepanjang semester ini. Tetapi hari ini, saya menerima ujian sebenar atas kata-kata saya itu. Tidak mengapalah, mungkin ada hikmahnya.



Bunga yang masih mekar di perkarangan rumah Abg Zahari


Jam 12.30 tengahari, saya menerima panggilan dari Dr Musa, memberitahu saya bahawa beliau telah pun menempah Lecture Theater Commerce 101 untuk AGM MUSA yang akan diadakan Sabtu ini. Saya meminta jasa baiknya sekiranya beliau boleh menukar tempahan itu ke Lecture Theater Art A2, lantaran saya menjangkakan bilangan pelajar yang akan ke AGM itu nanti lebih banyak berbanding tahun lalu. Tambahan pula, sejurus selepas AGM selesai, acara akan diteruskan dengan BBQ MUSA di Milnerbank Park. Saya pasti, agenda ini bakal menjadi tarikan utama untuk mereka menghadiri AGM itu nanti.


Autumn yang hampir berakhir


Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum saya meletakkan jawatan yang sebenarnya merupakan amanah terbesar buat insan lemah seperti saya. Terkadanag terasa kesal juga memandangkan banyak perkara yang sepatutnya saya laksanakan, tidak mampu tertunaikan lantaran kelemahan yang ada pada diri saya sendiri. Saya amat berharap, agar barisan kepimpinan yang baru bakal menyaksikan perubahan yang jauh lebih baik berbanding apa yang telah kami lakukan selama tempoh amanah ini tergalas di bahu kami.

Bak kata bro Umar "The help from Allah does not come from what we do, but it actually comes from the Barakah due to our PIETY". Selagi mana kita menjaga hubungan dengan Allah, selagi itulah kita akan diberi kekuatan, meskipun ujian yang mendatang bagai badai menghempas pantai.

Secara analoginya, serpihan bintang yang bersinar terang dan menyala mengeluarkan haba, meskipun sebesar mana ia, lama-kelamaan akan sirna terangnya dan hilang habanya. Tetapi, sebutir atom yang halus, yang bersambungan dengan puncanya, tidak kiralah sinar X,Y, Alpha mahupun Beta, akan terus menyala memancarkan haba kerana ia tetap berhubungan dengan sumber kuasanya. Begitu juga dengan kita, selagi mana kita menjaga pertalian dengan Sumber kepada segala kekuasaan, selama itulah kita memiliki kekuatan yang hakiki. Bukankah Allah pernah menyatakan, sekiranya Allah membantu seseorang hamba, maka seluruh makhluk di muka bumi ini pun tidak mampu untuk mendatangkan mudharat kepadanya. Itu janji Allah.

Lagenda perang Khalid Al-Walid juga pernah menyiasat khemah para tenteranya di Subuh hari. Bagi khemah yang terang; penghuninya sedang beribadah, beliau menyatakan bahawa di situlah punca kemenangan, begitu juga sebaliknya.

Apa yang mahu dihairankan dengan kehidupan dunia apabila laungan panggilan Allah menerjah telinga? Sedangkan nabi dan para sahabat yang sedang membina masjid, terus meninggalkan pekerjaannya tatkala azan berkumandang, inikan pula kita yang asyik melayari dunia maya sehingga terlupa waktu telah pun hampir luputnya! Tiada panggilan yang terlebih penting berbanding panggilan Ilahi. Sedarlah wahai diri yang sering lupa.

Harapan saya, moga saya akan mampu untuk stay istiqamah walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Allahumma Ameen...

Minggu, 06 Mei 2007

Di Pondok Kecil

Alunan nasyid ini banyak menggamit memori saya suatu ketika dahulu...



Di pondok kecil... di pantai ombak
berbuih putih beralun-alun

disuatu hari ayah berkata
jaga adik mu ayahkan pergi jauh
ku pandang wajah ayah dahinya ku cium
air mata mengalir hatiku pilu

diam-diamlah sayang jangan menangis
doakan ayah semoga diterima
diam adik ku sayang jangan menangis
andai ayah gugur doakan dia syahid

selamat berjuangan ayah tercinta
kau pergi dulu ayah ke medan juang
ku iringi doa moga berjaya
beroleh kemenangan demi agama Islam

wahai abang ku kemana
ayah ku sayang ayah ku cinta ayah 2x

duhai adik ku sayang jangan bersedih
ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi
tapi ingatlah adik ku pesanan ayah
berjuangan dan berkorban walau dimana jua

pada Mu Tuhan aku bermohon
dosa ayah ku minta diampunkan
berilah rahmat bantulah dia
untuk menegakkan agama Islam

Sabtu, 05 Mei 2007

Sahabat Sejati..

Goblet of coffee 5


Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.

"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.

"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.

Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah." Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"

"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yang mempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.

Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"

Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.

"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya. Kopi itu terbiar begitu sahaja. Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.

Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang" Zuraida sengih lagi.

"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.

Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.

semua hati manusia adalah putih pada awalnya



"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.

"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"

"Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.

Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.

"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.

Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.

Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,

"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"

Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.

Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah (di jalan Allah) yang pertama Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.

Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"

Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.

Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, inshaa-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."

Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.

Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.

Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.

"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.

Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius. Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.

Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."

Sejurus kemudian, Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."

Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat. "Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.

Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.

Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."

The image “http://www.haagen-dazs.com/img_db/pro/pro_vcc_101.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.


Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…." Zuraida tersenyum sahaja. Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."

Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.

"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca. Hayati mengangguk, "Cakaplah.."

"Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.

Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.

Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.

"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah. Kelopak matanya mula bergenang air mata keharuan.

"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.

Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."

Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkata, "Kosong-kosong!"

"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.

"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat, mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.

"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.

"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, in-shaa-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.

Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.



p/s: cerpen ini sangat menyentuh hati saya apabila membacanya. Moga dapat dijadikan iktibar buat kita dalam meniti arus persahabatan...

Jumat, 04 Mei 2007

Cinta kita, jauh kah?


Pemandangan waktu petang di Musim luruh, Canterbury Uni


"Brother, I'm really worry about Yang. She looked very depressed. I'm afraid she will hurt herself", ujar Bro Umar selepas solat Isha' . Saya juga risau mendengarkan hal itu. Meskipun beliau akan berpindah dari rumah itu 3 hari lagi, namun membiarkan perempuan itu dalam keadaan sedemikian tentunya mengundang kerisauan juga kebimbangan. Seandainya apa-apa terjadi kepadanya, pastilah Bro Umar orang pertama yang akan dipersalahkan. Lain pula ceritanya nanti. Saya berdoa semoga Allah menghindarkan beliau daripada malapetaka yang lebih besar.

Sebenarnya, malam ini ada sesuatu yang saya pelajari. Di samping kisah Bro Umar itu, ada suatu insiden yang benar-benar membuatkan saya berfikir sejenak, betapa jauhnya cinta saya kepada Allah. Semasa dalam perjalanan ke Uni Prayer Room untuk solat Maghrib, saya memandu kereta melalui sebuah stesen minyak Mobil. Mata saya tajam melirik harga petrol yang baru sahaja turun, iaitu $1.49 NZD per liter. Benak saya mula ligat memikirkan bilakah secepatnya saya harus mengisi minyak petrol, memandangkan lampu kuning telah pun menyala. Tambahan pula harga petrol di NZ ini turun naiknya bergantung kepada pasaran dunia. Harga sebegini rendah mungkin hanya akan bertahan selama setengah jam sahaja. Lebih baik solat dahulu, bisik hati saya memberikan cadangan. Setibanya di surau, saya terus menyertai jemaah yang telah pun selesai rakaat pertama.

Namun, di sepanjang solat, otak saya masih tidak berhenti memikirkan tentang isu mengisi minyak kereta, kemudiannya terus ke Pak n Save untuk membeli makanan. Mungkin lebih baik ke Countdown, memandangkan jaraknya yang lebih dekat. Lagipun, stesen minyak itu berada di pertengahan jalan ke pasaraya besar itu. Malam ini pun hujan. Begitulah akal saya berkira-kira semasa sedang 'khusyuk' bersolat. Sedar-sedar sahaja, saya telah pun berada pada tahyat akhir. Aduhai..

Kereta pertama yang saya beli dengan harga $1800 NZD


Usai solat Maghrib, saya pun melaksanakan perancangan teliti yang dibuat di sepanjang solat tadi. Sesampainya saya di stesen minyak itu, saya mendapati ia penuh dengan kenderaan lain yang juga tidak mahu melepaskan peluang menjimatkan duit semata-mata untuk mendapat lebih petrol. Maka saya terpaksa masuk ke tempat parking terlebih dahulu, sementara menunggu ada pam yang kosong. Beberapa ketika selepas itu, saya mendapati pam yang terakhir,berdekatan bahu jalan, telah pun kosong. Saya pun lantas mengundurkan kereta menghampiri pam berkenaan. Tiba-tiba kedengaran bunyi 'Boom!!'. Astaghfirullah!! Rupa-rupanya saya tanpa sedar telah melanggar bangku kayu menunggu bas di bahu jalan tersebut!. Saya berhenti lalu memeriksa bahagian belakang kanan kereta. Saya mendapati beberapa kesan kemek dan juga calar, sehingga tertanggal cat daripada 'chasis' kereta.

Saya tergamam sejenak, rasa menyesal mula menjalar ke seluruh urat saraf dan sendi. Mengapakah saya tidak lebih berhati-hati? Bentak hati saya penuh kesal. Saya terdiam sebentar. Saya mula menyedari, mungkin ini lah bayaran ‘cash’ dari Allah untuk mengajar saya supaya mengkhususkan cinta hanya kepada-Nya, terutama di dalam solat. Hati saya mula mencari-cari hikmah di sebalik apa yang baru sahaja terjadi. Saya telah terleka oleh perkara dunia semasa bersolat sebentar tadi. Cinta dan tumpuan yang semestinya saya beri kepada-Nya telah pun saya cemari dengan nikmat dunia yang tiada nilainya. Apakah hebatnya kita mempunyai harta yang mewah; kereta, asset dan anak-pinak yang ramai? Andainya perkara-perkara itu hanya menjauhkan kita daripada cintanya.

Saya terfikir, kita pastilah akan berasa gembira apabila menerima hadiah daripada seseorang, contohnya ketika hari lahir. Siapa yang tidak suka? Lebih-lebih lagi mereka yang ‘hot’ stuff. Dan secara lazimnya, kita akan berterima kasih kepada pemberinya. Tetapi alangkah malangnya andai kita terlalu memuji dan leka dengan hadiah yang diberi, sehinga lupa kepada sang pemberinya? Pastilah kita akan dilabel sebagai orang yang tidak tahu berterima kasih. Suka kah kita begitu? Jika dengan manusia kita tidak mahu digelar orang yang tidak tahu bersyukur, apatah lagi dengan Allah yang telah tanpa alpa memberikan sekelian nikmat yang maha banyak kepada kita selama ini? Fikirlah sendiri..

Calar yang sedikit pada kereta itu, mempunyai erti pengajaran yang besar buat saya. Biarpun nilainya akan susut (depreciate more), tetapi pengajaran dari Allah itu akan saya sematkan dalam diri selama-lamanya. Hikmah itu tidak ternilai harganya dengan nikmat dunia. Moga cinta saya pada-Nya tidak tersasar lagi…

Minggu, 29 April 2007

"Selembar seerah secangkir kisah."

Hilang duka..pagi ini ceria mentari menyiramkan sinarnya. Terasa amat syukur atas nikmat alam buana yang indah permai ini. . Sebenarnya, bukan sahaja mengingati Allah dengan berzikir, hati akan menjadi tenang, bahkan melihat kepada alam semesta yang sentiasa taat dan berzikir pada Allah juga, hati akan terasa damai....Pastilah bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu itu secara sia-sia.Alhamdulillah..

Sesi 'keluarga' pagi ini telah menyajikan pelbagai santapan minda dan rohani yang 'mengenyangkan'. Bermula dari terjemahan surah Ali-Imran (3:153-170), menyaksikan bagaimana konsep syura yang dianjurkan oleh Islam begitu efisyen dan praktikal dalam menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan. Lihat sendiri contoh ketika nabi bersyura bersama sahabat lewat kedatangan musyrikin Mekah yang ingin menyerang Madinah semasa perang Uhud. Walaupun baginda seorang nabi, namun keputusan syura majoriti sahabat tetap diutamakan. Umat Islam keluar dari Madinah untuk berperang. Pastilah mempunyai hikmah yang tersendiri di sebaliknya. (Two heads are better than one, right?)

Menyusuri seerah perang Khandaq,terlalu banyak pengajaran agung yang dapat dipetik dan diamalkan. Pertama, kita bukan sahaja perlu menjadi seorang Mukmin, tetapi Mukmin yang Professional. Arif dalam tindakan. Menggunakan pelbagai sumber yang ada sehinggakan tentera Musyrikin mengatakan bahawa taktik yang digunakan (digging trench) tidak pernah dilihat sebelum ini dan mereka tidak tahu bagaimana untuk melepasinya.. Kedua, kebijaksanaan Rasulullah mententeramkan para sahabat yang sedang di dalam ketakutan ketika itu dengan menghantar 4 sahabat untuk berunding dengan Kaum Yahudi Bani Quraizah. "Seandainya mereka (Yahudi) bersama-sama (allied with) orang Islam, maka sebarkanlah seluas-luasnya kepada kaum Muslimin. Namun andai sebaliknya, hanya khabarkan pada Rasulullah seorang sahaja". Namun sejarah menyaksikan bahawa Yahudi adalah satu bangsa yang tidak pernah taat kepada Rasul, dengan mudah mereka berkhianat serta memecah perjanjian. Umat Islam berhadapan dengan 3 musuh utama: Tentera Musyrikin di utara Madinah, Yahudi di selatan dan orang-orang Munafiq di pertengahan!!..di kalangan mereka sendiri.. Dalam keadaan yang tegang dan tertekan, para sahaabat ketika itu tidak mudah hilang harga diri untuk menyerahkan sepertiga hasil tanaman kurma kepada kaum yahudi sebagai ganti mereka berundur dari medan peperangan. Penyerahan ini bererti mereka menjatuhkan maruah dan air muka di tangan kaum Yahudi. Hal ini menunjukkan betapa mereka berpegang kuat kepada tali Islam, mempertahankan keISLAMan mereka walau apa jua keadaan. Cuba kita bandingkan dengan masyarakat Islam hari ini. Fikirlah sendiri. Contohnya, jika ancaman dan gangguan dijadikan alasan untuk membuka hijab ketika belajar di luar negara, maka ukurlah sendiri tahap keimanan kita. Bumi Allah sangat luas terbentang. Belajarlah daripada seerah. Mereka menggenggam Islam ibarat menggigitnya dengan geraham. Mereka tidak punya harta, anak pinak yang ramai, pendidikan yang tinggi, tetapi mereka percaya hanya janji Rasulnya..

Kala kesusahan, mudah untuk kita menggambarkan kesenangan dan beramal untuk nikmat di syurga...namun mengapa ketika senang, kita hampir lupa kesemuanya? Allah itu Tuhan yang sama ketika kita senang atau susah. Mengapa perlu ada double standard dalam menghambakan diri kepadanya?

Islam itu agama fitrah. Ia diturunkan sesuai dengan harmoni manusiawi yang inginkan kebaikan dan kesejahteraan. Kembali kepada Islam bererti kembali kepada fitrah kita yang benar, bukan menjadi KERAS atau jumuD, kerana kita adalah umat pertengahan (Ummatan Wasatan). Kembali kepada Islam bererti kembali menjadi umat yang agung seperti mana pernah dicapai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Umar Abdul Aziz dan banyak lagi. Mereka telah membuktikan bahawa umat Islam adalah umat terbaik, kini giliran kita telah pun tiba...mengapa perlu terleka lagi?

p/s: Suatu peringatan buat diriku yang sering lupa..Do more than touch, FEEL. Do more than look, OBSERVE. Do more than hear, LISTEN. Do more than read, COMPREHEND. Do more than talk, COMMUNICATE. Do more than know, UNDERSTAND. Do more than think, REFLECT. Do more than exist, LIVE. Do more than dream, REALIZE. Do more than be, be the BEST you can.

Analisa Cuti..


Bunga-bunga berguguran di sekitar kawasan Universiti


Pemandangan Musim Luruh yang mendamaikan



"Bro Umar call, katanya dia akan berpindah ke 36 Wharenui Road, Khamis malam, selepas Isha'", beritahu Aiman kepada saya sejurus sampai di muka pintu. Alhamdulillah, saya bersyukur. Akhirnya dapat juga dia berpindah, menamatkan period penderitaan yang dialaminya untuk sekian lama di rumah itu. Meskipun tidak dapat membantunya lantaran mempunyai test pada hari Jumaat nanti, saya berharap sahabat-sahabat yang lain dapat meringankan sedikit bebannya. Doa saya, moga beliau peroleh ketenangan di rumah baru itu nanti.

Brothers Camp 2007

Pada entri kali ini, saya ingin membuat sedikit rumusan berkenaan cuti Easter yang mencecah hari terakhirnya pada hari ini. Bermula 7 & 8 April, saya bersama-sama 34 peserta dari Christchurch menghadiri Brothers Camp, yang dianjurkan oleh MUSA Otago di Balclutha, Selatan Dunedin. Meskipun bertemu muka sehari cuma, namun kesedihan di saat berpisah ibarat telah bersama berabad lamanya.

Kuliah Tafsir yang diadakan setiap malam Jumaat (pada 19 April) terpaksa ditangguhkan, lantaran kebanyakan rakyat jelata Christchurch telah berangkat ke Carnival Malaysia di Auckland. Bagi saya, agak tidak adil untuk meneruskannya memandangkan bilangan yang sedikit, kerana dari segi prioritinya, manfaat kepada bilangan yang lebih besar itu lebih utama berbanding yang sedikit.


Massey University

Islamic Centre yang tersergam indah

Pada tanggal 20 - 23 April, kami menjejakkan kaki ke bumi Wellington, dan Palmerston North. Sebuah trip yang saya kira cukup menarik dan menghiburkan. Ketika kami di Massey University di Palmy, kami sempat menemukan Islamic Centre yang tersegam indah berhampiran tasik di sekitar kawasan Universiti. Saya berasa kagum dan bangga dengan pencapaian mereka yang begitu aktif dalam mendirikan tempat ibadah bagi kegunaan pelajar Muslim di situ. Semoga usaha mereka mendapat berkat Allah yang berkekalan.

Malam semalam, Iqbal dan seisi rumahnya mengajak saya untuk makan malam di Nandos. Selepas itu, kami meneruskan 'boys night out' ke puncak Bukit Cashmere, menuju ke pantai Sumner. Pemandangan Bandar Christchurch di waktu malam, dengan disinari lampu-lampu neon memang indah nian dan mempesonakan. We had great time together.

Dan hari ini, saya telah membuat satu analisa ringkas tentang penggunaan masa sepanjang cuti selama 3 minggu ini. Daripada penilaian kasar, saya mendapati masa saya paling banyak dihabiskan di depan komputer. Pelik, tetapi benar. Berikut adalah laman-laman web yang sempat saya kunjungi sepanjang musim cuti ini:
  1. Email (hampir setiap hari)
  2. Friendster
  3. Saifulislam
  4. ESPN
  5. Youtube
  6. Footytube
  7. National Bank
  8. Webmail
  9. Canterbury University
  10. Islam Online
  11. Utusan
  12. Paul Tan
  13. Roslan SMS
...dan senarainya berterusan sehingga malas untuk saya taipkan di sini.

Sebenarnya pembacaan tentang sebuah artikel berkaitan kempen menjauhi Friendster, telah membuat saya kembali berfikir dan menilai diri ini di sepanjang tempoh masa lapang yang telah berlalu. Saya tidaklah bersetuju 100% dengan pendapatnya tentang keburukan Friendster, tetapi hujah-hujah yang diutarakan, saya kira datangnya dari benak yang cerdas dan wajar diberikan pertimbangan sebijaknya.

Saya cuba mencongak tempoh kasar berada di hadapan komputer setiap hari. Anggarannya tidak kurang 6 jam! Ini bermakna, 1/4 hari saya dihabiskan di alam maya dunia internet. Apakah yang telah saya hasilkan daripada tempoh yang begitu lama ini? Aduhai, malang sungguh diri ini jika tempoh masa selama itu berlalu tanpa membuahkan hasil yang bermanfaat. Dan tempoh masa saya memegang buku (subjek akademik) jauh lebih sedikit berbanding masa dihabiskan melayari internet. Ini yang saya kesalkan. Waktu lapang seringkali dilupakan sehingga kita benar-benar tersepit dalam kekangan masa yang amat memeritkan nanti. Saya tidak mahu perkara sebegitu berulang lagi...

Malam ini, saya cuba bermuhasabah, koreksi diri akan kealpaan dalam pengurusan masa yang bijak. Benar seperti kata pepatah Arab; "Waktu itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, kita akan terluka dek ketajamannya". Terasa benar penangan kata-kata ini, ibarat panah yang meluncur tepat pada sasarannya. Saya tidak mahu leka lagi. Saya harus bermula...