Tampilkan postingan dengan label emak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label emak. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 22 September 2007

Aku Merinduimu....

RINDU....Aku merinduimu....Itulah keluh hatiku kebelakangan ini. Ada sahaja yang tidak kena pada kerja buatku. Tapi bagaimana mahu kulepaskan rindu ini? Dia berada terlalu jauh...tidak tercapai kudrat ini untuk bertemu dengannya. Tetapi hati ini makin rindu. Rindu yang hanya Allah yang Tahu. Rindu mendengar suaranya yang seringkali menghamburkan nasihat buat diri yang amat mentah pada kerumitan kehidupan dunia ini. Bagaimanakah keadaannya sekarang? Bahagiakah dia di sana? Sudah lama aku tidak mengirimkan 'hadiah' kepadanya. Pasti dia sunyi...Ahh, rasa bersalah mula menusuk hati..

Rasa seperti ini datang sesekali sahaja. Namun ia sering diiringi oleh 'pertemuan' dengannya. Dan malam itu aku amat bersyukur kerana dapat bersua muka dengannya setelah sekian lama rindu mendamba. Aku sedang mengambil wudu', tatkala melihat kelibat insan yang begitu bermakna dalam hidupku itu sedang menuruni tangga. Aku memalingkan pandangan ke arahnya. Aku tergamam. Terkesima. Benar, dialah insan yang sering kurindui selama ini. Kini dia benar-benar berada di hadapanku. Titisan wudu'ku bercampur air jernih yang mula bergenang di kelopak mata. Tangisan ini tidak dapat ditahan lagi. Gembira bersulam sebak di dada lantaran rindu yang terlalu lama.

Aku lantas memeluknya erat, bagaikan tidak mahu melepaskannya lagi. Air mata ini semakin laju berjujuran. Untuk seketika, tiada bait lafaz yang mampu terucapkan. Hanya linangan air mata yang menghiasi pertemuan kami kala itu.

"Ajib rindu...mak", bisikku dalam tangisan. Dia seolah-olah mengerti perasaanku kala itu, lalu mengusap kepalaku penuh kasih sayang. "Emak pun rindu.." jawabnya perlahan, sambil bibir tuanya perit mengukir senyuman. Air mata ini semakin tidak tertahan lagi. Aku terharu.

Seketika, aku menatap wajahnya yang tenang bercahaya. Sejuk hati ini terasa. "Cantiknya baju emak pakai hari ni", aku seolah-olah gembira melihat keadaannya yang indah berseri-seri. Aku teringat baju itu seperti yang pernah dipakainya pada hari raya dahulu. "Hari ini emak dapat berehat, berjalan-jalan. Emak datang nak jumpa Ajib...",jawapannya itu cukup untuk membuat hati ini tenang dan senang.

Namun, sejenak kemudian, kelibatnya semakin sirna oleh kilauan cahaya yang amat terang. Pandanganku silau. Aku tidak mampu untuk melihatnya lagi, walau pinta hati ini terlalu menginginkannya. Dalam kesamaran itu aku cuba untuk menjejaki kelibatnya, namun gagal. Akhirnya bayangnya terus hilang dari pandangan...

Aku terjaga. Tanpa kusedari air mata sudah pun berlinangan di pipi. Tangisan itu tidak mampu kubendung. Aku rindu, benar-benar rindu padanya. Dan pertemuan sebentar tadi bagaikan memberi peluang untuk ku melepaskan ridu, biarpun untuk sekejap cuma. Itu pun sudah membuatkan ku lebih daripada bersyukur.

Emak, insan yang melahirkan ibuku dan menjagaku sejak kecil, begitu bermakna dalam coretan hidupku. Biarpun berpangkat seorang nenek, namun keakrabanku dengannya membuatkan aku memanggilnya 'emak'. Dia tidak pernah memarahiku, tetapi kerlingannya sudah cukup untuk membuat darahku berderau. Dia yang mengajarku erti kesusahan tatkala kesenangan menjadi ujian. Dia yang mengubat sunyiku ketika aku di kejauhan. Dialah permata hatiku, meskipun tampak usang di pandangan.

Dan kala itu, aku bersyukur lantaran dihadiahkan pertemuan penuh kesyahduan dengannya, di bulan Ramadhan yang mulia. Gembira melihatnya dengan pakaian yang serba indah, seolah-olah sedang berhari raya. Mungkin inilah makna 'kerehatan' padanya, yang hanya dimiliki setiap kali Ramadhan menjelang. Tetapi sesudah itu, apakah pula nasibya di sana? Bisakah dia selalu bahagia?

Sejenak, aku cuba berkira-kira, berapa banyakkah 'hadiah' yang sudah kuberi padanya..Ternyata bilangannya terlalu kecil, tidak terbanding oleh jasanya yang bersusah payah menjagaku ketika kecil, mengangkatku sambil berjalan ke klinik ketika aku tidak mampu bergerak, mengubat lukaku, dan selautan bakti yang dicurahkan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Emak, Ajib sedar, Ajib bukanlah seorang cucu yang mengenang jasa. Hadiah ini hanya kuberikan pabila rasa rindu menerpa leka.

Namun, belum terlambat kiranya untuk kuterus berdoa, moga segala pahala amalan kebaikanku dihadiahkan pada emak, buat bekalannya di sana. Moga emak tidak sunyi lagi. Salam sayang penuh rindu daripada seorang cucu yang masih di dunia....

Senin, 21 Mei 2007

Emak..


Inilah kampung tempat saya tinggal dengan arawah mak semasa kecil dahulu


Sejak kecil, saya memang jarang tinggal bersama ibu..Sedari tadika, ibu, abah dan adik beradik yang lain berpindah ke Pasir Gudang, Johor. Ketika itu, saya masih lagi di tadika At-Taqwa, Masjid Tanah, Melaka. Tinggal bersama arwah emak (saya memanggil arwah nenek dengan panggilan 'emak', lantaran terlalu rapat dengannya.) Meskipun saya seorang yang nakal semasa lingukngan umur 6 tahun, tetapi emak jarang memarahi saya. Namun, setiap kali beliau menjeling, darah saya berderau. Saya faham benar akan kerlingan itu.

Setelah tamat (graduate) daripada tadika, saya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Rendah Islam ABIM di Johor Bharu. Ketika itu juga saya tidak tinggal bersama keluarga. Sebaliknya, selama dua tahun setengah, saya tinggal bersama sebuah keluarga angkat. Menjelang pertengahan tahun darjah 3, ibu dan abah kembali ke Masjid Tanah. Saya juga berpindah ke Sekolah Rendah Islam Al-Falah, Kuala Sungai Baru, Melaka. Pun begitu, saya masih lagi tidak tinggal bersama keluarga sehingga darjah 6. Sebaik sahaja 'pulang' ke rumah, abah pula ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Registrar ke Sekolah Rantau Petronas di Kerteh, Terengganu. Beberapa bulan sebelum peperiksaan UPSR, ibu pula mendapat tawaran pertukaran kerja ke Pejabat Pos Kerteh. Aduhai, akhirnya saya kembali mengambil peperiksaan bersama arwah emak, bertanyakan tentang peribahasa dan simpulan bahasa Melayu lama. Saya banyak belajar daripadanya.

Selepas tamat UPSR, saya meneruskan penjelajahan menuntut ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka. Sepanjang persekolahan di sana, saya sering pulang ke kampung untuk bertemu emak. Semasa di tingkatan 2, emak ditimpa kemalangan. Sejak itu, kesihatannya merosot; beliau mula tidak boleh berjalan, dan akhirnya terlantar sahaja di perbaringan. Melihatkan keadaannya, saya semakin kerap pulang ke kampung untuk menjaganya. Suatu saat yang paling membuatkan saya terharu adalah, beberapa hari sebelum peperiksaan PMR, beliau yang terlantar sakit itu datang melawat saya dengan bantuan bapa saudara, semata-mata untuk memberikan kata nasihat dan semangat. Subhanallah, betapa saya menghargai dan mengasihinya, seperti manyayangi ibu saya sendiri. Alahmdulillah, Allah mengurniakan kejayaan 9A yang sebenarnya, hadiah terbesar buat emak yang bersusah-payah menjaga saya sejak kecil. Namun, taqdir Allah mengatasi tadbir manusia, rupanya itulah lawatan terakhir emak sebelum beliau tidak sedarkan diri. Beberapa bulan selepas itu, sakit emak (barah tulang) bertambah serius, dan akhirnya emak menghembuskan nafasnya yang terakhir di pagi Syawal. Sememangnya, itu adalah kehendak-Nya yang Maha Esa. Saya menerimanya dengan berlapang dada serta hati yang redha.

Kenangan bersama arwah mak memang tidak dapat dilupakan. Dua tahun sebelum pemergiannya, beliau banyak menceritakan kepada saya kisah lama yang saya kira, amat-amat berharga. Pernah suatu hari di buaian hadapan rumah, beliau menceritakan tentang bagaimana nenek sebelah abah berjumpa dengannya di tepi sawah sambil menaiki basikal untuk merisik tentang ibu! Kelakar pun ada, menarik pun ada. Kisah lama, memang banyak pengajaran dan sempadannya.


Mengenangkan arwah mak, saya sering berasa sayu. Kami pernah sakit terbaring bersama, tetapi beliau yang pergi dahulu...Mak seorang yang sangat kuat dan tabah. Usia mudanya dihabiskan untuk bekerja keras membanting tulang bagi menyara anak yang seramai 6 orang; masing-masing dengan karenahnya yang tersendiri. Abah (atuk) saya menghabiskan kebanyakan masanya dengan berlayar ke Eropah. Maka emak terpaksa menggalas tanggungjawab ibu dan ayah sekaligus sepeninggalan abah ke luar negara. Sungguh besar pengorbanan yang telah dicurahkan. Daripada mengusahakan sawah, hingga menjual kain baju di kampung yang jauhnya berbatu-batu, beliau tidak pernah culas dalam membesarkan anak-anaknya sehingga mereka menjadi manusia yang benar-benar bergelar 'insan'.

Pagi kelmarin saya bermimpi lagi berjumpa emak. Sudah lama saya tidak 'berjumpa' dengannya. Dalam mimpi ini, keadaannya sama seperti dia menjaga saya semasa tadika dahulu. Dalam mimpi itu, kira-kira jam 4 pagi, saya ke dapur, melihat emak sedang memasak gulai kari ayam. Masakan itu disediakan sebagai bekalan saya ke tadika siangnya nanti. Saya bertanya,"Kenapa emak masak lauk ni awal-awal?". "Mak kena masak awal, lepas Subuh nanti nak tolong abah potong getah", jawab emak. "Ajib rasalah sikit lauk ni" kata emak, tenang sambil memberikan saya sedikit lauk itu untuk dijamah. Ketika itu, saya merasa amat terharu, tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan lafaz terima kasih atas segala pengorbanannya.

Sejurus kemudian, saya tersedar. Air mata berjujuran dengan sendirinya di pipi. Saya tidak mampu membendungnya lagi. Hanya Allah yang Mengetahui betapa saya rindukan emak. Saya rindu mendengar leterannya. Saya rindu mendengar ceritanya. Saya rindu akan nasihatnya...dan yang paling penting, saya rindu berjumpa dengannya..

Masih segar di ingatan, suatu nasihat beliau yang begitu ringkas, tetapi dalam maknanya,"Ajib belajar sampai berjaya, jangan kecewakan ibu dan abah...". Sehingga saat ini, saya masih lagi ingat akan nasihat itu. Biarpun ringkas, tetapi ia datangnya dari hati seorang insan yang penuh dengan limpahan kasih dan sayang. Nasihat itu lah yang memberi kekuatan buat saya meneruskan sisa perjuangan.

Hari ini, saya berdoa dan terus berdoa, semoga Allah memberi nikmat dan rahmat kepada ruh Allahyarhamah Amnah Bt Aim. Semoga kuburnya menjadi salah satu daripada taman-taman syurga, dan dijauhkan daripada menjadi salah satu daripada lubang-lubang neraka. Na'uzubillah.

Terima kasih emak, atas segala-galanya...

Sabtu, 12 Mei 2007

WARKAH DARI ANAK MAK YANG DEGIL


Saya nak awak kongsi bersama,bacalah warkah ni,
WARKAH BUAT IBU...
Mak.....
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari.....
Dah hampir sepuluh bulan mak pergi,
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan
sejuk syahdu masih terasa lagi nih....
Mak tau tak.....
itulah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni
sejak kiter dewasa.....
dan itu juga terakhir kali nya.
Emmmm...rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh.....
nak tinggal kan anak2 mak.....
nak tinggal kan dunia fana ni.....
mak macam dan sedia.....
Seminggu sebelum tu.....mak dah menganyam tikar
mengkuang 3 helai.....
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu.....
tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih.....
kakak pun rasa hairan.....
mak tak penah buat gitu.....
pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak.....
tapi mak seolah2 tak sedar bahawa rancangan
radio tu siaran siam.....
kengkadang siaran indonesia...mak terus tekun menganyam...
Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan
untuk mengiringi mak ke kuburan...
Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih2....
pastu mak jemur karpet-karpet...
pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..mak biarkan ruang tu kosong..
rupanya kat situ jenazah mak diletakkan..
paling menarik sekali mak bgtau kat maner sume duit
dan barang kemas
mak..
ada kat dalam almari.....
ada kat dalam dalam beg.....
ada dalam ASB.....
ada kat dalam Tabung Haji..
mak cakap tak berapa cukup lagi....
ada kat dalam gulung tikar.....
masa tu mak perasan takk..??
kiter gelak sakan bila mak bgtau duit dalam gulung tikar...
kiter kata mak ni memang pesenn lama laaa...
mak cuma gelak jer...
eeemmm..bahagiaa nya saat ituu..

Mak.....
Hari tu hari sabtu 18/08/1999 pukul 3 petang
mak tiba2 sakit perut.....
bila malam tu kiter sampai dari KL.....mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampong semua dah pujuk.....
mak tetap takmau pi hospital.....
dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk...
Mak kata mak takmau duduk dalam hospital.....
tapi kiter berkeras juga pujukk..
nanti di hospital ada doktor...ada ubat untuk mak..
kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut jer..
Mak tetap tak bersetuju.....mak memang degil...
tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk....
mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit
kami adik beradik sepakat hantar juga mak ke hospital.....

Mak.....
amponkan kami semua...
kami nak mak sehat...
kami sayang mak...
kami tak mau mak sakit...
kami terpaksa juga hantar mak ke hospital....
ampon kan kami yer mak....

Mak.....
Malam itu abang bawa mak ke hospital, dan itu lah pertama
dan terakhir kali
mak naik kereta kiter...
Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak,
kiter kata nak beli kereta....
Mak asyik tanya ajer..cukup ker duitt..
kiter jawab pula...kalau tak cukup,
mak kan banyak duit...
mak gelak ajerr.....
Lepas tu bila kereta kiter sampai.....mak buat kenduri kesyukuran.....
Dan kiter masih ingat lagi...bila kiter eksiden terlanggar
keling naik motor.....
Punya la kiter takut...kiter warning kakak kiter
jangan sesekali bgtau kat mak.....
Bila balik sahaja kampong....kiter cepat-cepat
simpan keta dalam garaj.....
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek...
mak tanya kenapa...?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga.....
Mak....tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau...
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar...
mak, kiter menipu mak kan...ampon kan kiter....
Mak.....
Jam 4.30 pagi 19/08/1999
Bila tiba kat hospital....nurse tengah balut mak
dengan kain putih.....
mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital...
Mesti mak nampak abang cium dahi mak.....
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak....
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu...
mesti mak nampak semua tu kann...kann..kannn
Mak tau tak....
Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter memandu dalam
keadaan separuh sedar...
Adik kat sebelah diam melayan perasaan...
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini...
jalan di depan terasa makin kelam.....
airmata dah tak mampu di tahan....
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela...
Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga...
disebabkan pagi masih awal,
jadi jalan tu lenggang..kosong....sekosong hati ini.....
Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar
suasananya.....
terasa syahdu dan sayu gitu...dinginnnn....

Mak.....
Kiter masih ingat lagi...
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak...
Jam 11.00 pagi mak di mandi kan....
Anak2 mak yang pangku masa mak mandi....
Mak mesti rasa betapa lembut nya
kami mengosok seluruh tubuh mak.....
Kiter gosok kaki mak perlahan lahan.....
Mak perasan tak...?
Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter.....
Dia kata..." dikk...jangan nangis...
kalau sayang mak jangan buat gitu...
jangan nangis ya.."
Bila makcik tu kata gitu...
lagi laaaa laju airmata ni..
tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak....

Mak.....
Sampai takat ini surat ni kiter tulis.....
kiter nangis ni.....
Ni kat dlm bilik...baru pukul 4.00 pagi....
Takder orang yang bangun lagi.....
kiter dengar nasyid tajuk "anak soleh"
kiter sedih...kiter rindu kat mak..!
Takpa la.....nanti bila kita selesai sembanyang subuh,
kiter baca yassin untuk mak...
mak tunggu ya...!
Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya....
Semua anak2 mak mengelilingi mak...
menatap wajah mak buatkali terakhir....
Semua orang kata mak seolah2 senyum aja...
Mak rasa tak....masa tu kiter sentuh dahi mak....
kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk.....
Kiter tak mampu nak cium mak...kiter tak daya....
kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar...
Airmata kiter tak boleh tahan....
Mak mesti ingat kan yang anak mak ni
jadi imam solat jenazah untuk mak...
tapi kite suruh tok imam bacakan doa sebab kite sebak....
Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah....
Akak pula dah terkulai dlm pelukan makcik...
badan akak terasa panas...
makk...anak mak yang seorang tu demam....
Mak tauu...cuma akak sorang saja anak mak
yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan...

Mak.....
Hari2 ku lalui tanpa kewujudan mak lagi...
Begitu terasa kehilangan mak...boleh kata setiap malam
selepas maghrib anak mak ini berendam airmata...
Dan sampai satu tahap....masa tu malam jumaat
selepas maghrib...
Selepas kiter baca yassin ngan kawan-kawan....
entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar2 mak
pastu apa lagi...
semakin kiter tenung terasa semakin sayu...
tangisan tak dapat dibendung...
Mak tauu...kiter cuba bertahan...
memujuk diri sendiri tapi tak juga reda...
Kiter rasa nak telefon mak...
nak cakap dengan mak....
anak mak yang ni dah tak betul kan..????
Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon kampong...
Kiter cakap dengan kakak..kiter nangis lagi...
Puas la kakak memujuk kiter...
Akak kata..." tak baik laa nangis aje..doa lah untuk
mak..nanti kalau gini
ajer mak yang susah kat sana.."
Dan akhirnya akak juga nangis.....
Agaknya mak nampak adegan tu...
sebab malam jumaat kata orang roh balik rumahh...
mengharap sedekah dari anak2 nya...

Mak tau tak...di saat itu kerinduan
terasa menusuk sehingga ke hulu hati...
rasa nyilu sangat....
menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni....
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma...
hanya sedekah al-fatihah kiter berikan.....

Mak....
cukup la sampai sini dulu....
kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu....
kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid...
selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan...
kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak...
esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula....
Mula2 kiter tak tau nak hantar mana surat nih...
pastu kawan kiter bgtau...simpan je buat kenangan..
Kiter cuma tau alamat ni aje...
Takper yer mak...kiter kasi orang lain baca...
Kiter stop dulu...sebab kawan kiter dah lama tunggu tu...
akhir kata untuk mak, I LOVE YOU SO MUCH
dan jutaan terima kasih
kerana membesarkan kiter...
memberi seluruh kasih sayang
dari kecil sampai masuk sekolah..
sampai masuk universiti..
sampai kiter boleh rase naik kapal terbang...
boleh rasa duduk kat negara orang...
Sampai akhir hayat ini jasa mak
tak akan mampu kiter balas..
Sekian terima kasih.


Yang Benar
Anak mak yang dah tak degil



p/s: Kisah ini dikirimkan oleh sahabat saya suatu ketika dahulu. Amat-amat terkesan di hati, menitis air mata membacanya. Kembalilah ke pangkuan ibu tercinta, sebelum kesempatan itu berlalu di usia masa. Semoga kita tidak lagi melukakan hati ibunda tercinta...Sayang IBU..