Rabu, 08 Agustus 2007
My Fear
Saya takut...
Kenapa saya takut? Apa yang saya takutkan?
Sepanjang hari ini saya rasa takut, terutama setelah tamat ujian bagi subjek Materials & Metallurgical Engineering. Saya takut tidak dapat menjawab dengan baik. Saya mula bertanya pada diri, itu sahajakah kemampuan saya untuk menjawab soalan, setelah semua lecture slide saya hafal berhari-hari lamanya? Saya takut akan tekanan semasa peperiksaan. Saya pun pelik, mengapa harus rasa begitu....sedangkan hidup sebagai seorang pelajar Mechanical Engineering adalah sebati dengan ujian yang begitu tinggi kekerapannya. Mungkin kerana saya seorang sahaja pelajar Melayu yang mengambil subjek itu. Rasa keseorangan memang tidak dapat dielakkan. Namun apa boleh buat, hidup ini tidak banyak pilihan. ...Mungkin, saya masih merasai penangan peperiksaan akhir semester yang lalu? Entahlah...yang pastinya, hati saya tidak tenteram...Saya ingin memperbaiki prestasi akademik, semuanya untuk ibu dan abah...tetapi tidak dinafikan, masih juga terasa sukarnya...Terkadang, yang lebih susah itulah terlebih aula dan baik untuk kita. Siapa tahu, berkat kesungguhan di dalam subjek ini, bakal membolehkan saya untuk mengambil pHD suatu hari nanti?
Saya juga takut kerana kedudukan kewangan saya agak tidak stabil kala ini..Fikiran jadi runsing tiap kali hal ini datang menjengah benak minda saya. Saya mahu menyelesaikannya secepat mungkin, tetapi masih belum terbuka lagi jalannya. Lantas saya teringat sebuah doa: " Ya Allah, seandainya ada rezeki untuk ku di langit, maka Kau turunkanlah, seandainya di dalam bumi, maka keluarkanlah, seandainya ia jauh, maka dekatkanlah, seandainya sedikit, perbanyakkanlah, dan seandainya ia haram, maka Kau jadikanlah ia dari sumber yang halal..."
Saya juga takut kerana Islam Awareness Week akan bermula minggu hadapan, dan persiapannya masih belum lagi selesai. Puas sudah dipanjangkan iklannya, tetapi yang menunjukkan muka untuk membantu, hanya beberapa kerat sahaja. Mungkin 'kerja' saya yang masih belum sempurna, saya berkira-kira. Tetapi saya pohon, semoga Allah mempermudahkan urusan kami untuk menyampaikan Islam di sini.
Banyak lagi yang saya takutkan...tetapi apabila direnung kembali, saya tidak seharusnya takut sepertimana yang saya rasakan sekarang. Kerana takut seperti ini akan membawa kepada kesedihan dan rasa lemah. Saya yakin segala-galanya punya jalan keluar, cuma jauh atau dekat. Bila hidup terasa sukar, lihatlah ia dari sudut pandangan Pencipta. InshaaAllah kita akan mendapati ia ibarat suatu lukisan indah dari Tuhan buat hamban-Nya yang tercinta. " Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan kami. Lihatlah kami dengan pandangan rahmat-Mu. Moga ia jadi azimat yang memberi kekuatan untuk terus berjuang...."
Dan kala ini, saya masih mampu tersenyum di sebalik ketakutan dek ujian yang menimpa, kerana saya percaya, segalanya adalah tarbiyah Allah untuk menambah rasa iman dalam diri hamba-Nya. Pada-Nya juga saya berserah, kerana takut dan harap saya hanyalah untuk Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar