Kamis, 05 April 2007

Kecil yang sebenarnya besar..

Alhamdulillah, akhirnya sempat juga saya menyiapkan assignment yang begitu menghantui hidup saya selama seminggu ini..Kesibukan menyiapkannya menyebabkan saya tidak berpeluang bertanya khabar ibu di rumah dan membuatkan sebuah hati terluka. Assignment yang bernilai 40% ini bertajuk:

Perspex: Build, Design & Test


Apa yang menariknya tentang perspex ini? Saya bukanlah mahu membincangkan sifat2 (properties) material ini, tetapi bagi assignment ini, kami dikehendaki membina sebuah struktur yang dapat menampung sejumlah beban yang kami perlu tentukan sendiri nilainya. Ini bermakna, kami perlu memastikan bahawa binaan itu akan roboh (fail) pada jumlah beban yang tertentu, berdasarkan pengiraan yang tepat dan pelbagai eksperimen yang berkaitan. Sungguh mencabar...

Maka sedaya upaya, kami berusaha mengaplikasikan segala ilmu tentang engineering design yang pernah dipelajari, juga mengenalpasti aspek2 yang perlu diberi keutamaan, terutama dari sudut reliability, strength to weight ratio, stress concentration dan faktor2 yang sama waktu dengannya. Setelah lebih kurang 6 jam berusaha, kami mendapati nilai akhir stress concentration selalu berubah2 dan jauh dari nilai yang sepatutnya. Kami jadi buntu, puas sudah difikirkan dari sudut application dan penggunaan rumus yang penting, namun gagal menemui puncanya. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk meneliti setiap pengiraan, maka barulah kami temui kesilapan kami yang sebenar, yang hakikatnya terlalu kecil dan tidak patut berlaku. Kami hanya terlupa untuk kuasa dua dalam rumus mencari stress concentration itu. Kesannya, keseluruhan pengiraan menjadi salah dan kami menjadi semakin stress.

Sesuatu yang berharga saya pelajari daripada kesilapan kami ini. Kadangkala, kesilapan yang kecil, boleh membawa kesan yang besar dalam kehidupan kita. Ini kerana, kesilapan itu biarpun kecil, tetapi ia cukup penting dan bermakna.

Oleh kerana kami melihat konsep2 yang penting itu sebagai sesuatu yang 'besar', maka kami menganggap kesalahan seperti ini adalah 'negligible'...sedangkan hakikatnya, kedua-duanya sama penting. Di sini saya mengenalpasti kesilapan kami dalam menentukan nilai terhadap sesuatu aspek pengiraan.

Tuntas, saya menyedari, bahawa dalam kehidupan seharian juga, kita banyak melakukan kesalahan2 yang kita anggap 'kecil' tetapi hakikatnya memberi kesan yang besar dan begitu bermakna. Kita sering tersalah dalam memberikan nilai terhadap sesuatu perkara, sehinggakan sesuatu yang penting boleh dianggap kecil, malah sering diabaikan sahaja. Lihat sahaja contohnya di dalam ibadah solat. Kesalahan kita dalam sebutan rukun Qauli (perkataan) sebenarnya bisa membuat solat kita batal dan tidak diterima. Seandainya solat kita tidak sah, maka amalan lain juga tidak akan diterima. Maka apakah maknanya kita berpenat lelah mengerjakan sembahyang bertahun-tahun lamanya, andai perkara yang 'kecil' ini menjadi hijab kita dengan Tuhan Sang Pencipta? Tetapi kita sering memandang remeh akan perkara ini, lantaran ia tidak memberi kesan 'langsung' dalam kehidupan seharian. Sebab itu tidak hairanlah, andai ada orang yang berumur 56 tahun tetapi masih gagap membaca surah al-Fatihah!

Kesilapan yang kecil, jangan sekali-kali dianggap remeh, kerana ia mungkin akan memusnahkan kehidupan kita suatu masa nanti. Moga neraca penilaian kita sentiasa dipandu oleh hidayah-Nya. Moga kita kan dipelihara daripada kesilapan yang merugikan....

Selasa, 03 April 2007

Pada ujian itu ada hikmahnya...

Malam ini seperti hendak demam rasanya. Badan panas, tekak tiada selera (tetapi dapat juga menghabiskan sebekas nasi..) dan simptom2 yang sewaktu dengannya. Mungkin ini kifarah atas dosa saya yang terlalu banyak selama ini. Saya bersyukur..

Kala ini saya teringat akan sebuah nasyid yang pernah kami dendangkan di Melbourne di suatu ketika yang hampir sama dengan saat ini..


Kehidupan (In Team feat Nazrey)

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan..


Kadangkala, terasa sedikit kecewa apabila perancangan kita dengan mudah dikalahkan oleh kelemahan diri sendiri. Hajat untuk ke Queenstown terpaksa ditangguhkan ke suatu masa yang saya sendiri tidak tahu bila. Saya tidak berjaya memujuk 'mereka' untuk turut serta. Saya tidak menyalahkan orang lain, tetapi ini adalah muhasabah untuk diri saya menjadi lebih kuat dan bekerja secara lebih professional di masa akan datang.


“Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistematik”, itulah kata-kata yang sedang ligat bermain di benak saya kala ini..


Mungkin saya belum benar-benar berusaha seperti yang sepatutnya saya berusaha. Mungkin usaha yang saya ‘beri’ masih jauh daripada timbangan kesempurnaan. Mungkin saya banyak lalai dan leka. Mungkin dan mungkin..Dan saya yakin, bahawa jalan ini bukanlah dekat dan mudah..

Moga alunan nasyid ini menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berusaha. Moga detik masa ini menjadi saksi azam saya kepada-Nya…

Senin, 26 Maret 2007

Kerja saya lebih banyak daripada masa..

Assalamualaikum...

Pertamanya, ribuan maaf saya pohonkan kerana terlalu lama menghijab diri daripada menyumbang sebarang entry di ruangan blog ini. Entah apa yang menghalang, saya pun tidak pasti..lama benar rasanya..kali ini saya terpanggil oleh gesaan cik afni yang tidak mahu saya sekadar copy n paste artikel orang lain. Mungkin ini juga boleh menjadi batu loncatan yang baru untuk saya menyambung semula kerja-kerja yang telah lama sepi ditinggalkan dek kerana alasan SIBUK yang selalu diberikan...alahai...

Semalam saya menelefon Ust Hasrizal...alhamdulillah, dlm perbualan kami yang hampir satu jam itu, pelbagai topik yang kami bincangkan, penuh manfaat dan pengajaran. Berbual dengan ust, selama 5 minit pun ada pengajaran yang boleh diambil, inikan pula 1 jam!. Daripada bertanya khabar, sehinggalah ke isu 8 badan di US yang mengawal segala aspek sistem kehidupan di sana, yang kesemuanya terdiri daripada Zionis. Menarik, memang menarik..

Rentetan daripada itu, ust telah mengarang satu entry sempena perbualan kami itu..iaitu entry yang bertajuk :

Ini Sahajakah Imej Malaysia?


Alhamdulillah, inilah yang terbuku di hati saya sepanjang berada di bumi Christchurch yang permai lagi damai ini.. Suatu hasrat yang ingin saya luahkan kepada semua, terutama di dalam kuliah tafsir mingguan....tetapi saya tidak tahu bagaimana...kalau terlalu keras, bimbang akan mengguris banyak hati, lantaran yang datang mendengarnya juga terdiri daripada mereka yang aktif...kalau terlalu halus pula, bimbang maksud itu langsung tidak dapat difahami..

namun begitu, saya sedar, saya perlu bersikap PRO AKTIF...jangan biarkan diri menjadi mangsa keadaan. Maka saya tetap juga cuba menyampaikannya dalam bahasa yang mereka fahami...dan juga melalui saluran maya ini..harap-harapnya ada yang membaca dan sudi berfikir lalu membentuk kemahuan untuk bertindak...

satu lontaran suara hati buat rakyat jelata di Chistchurch ini...saya amat menyayangi anda semua...saya seboleh-bolehnya cuba membersihkan debu-debu jahiliah, supaya nampak imej sebenar Islam yang indah lagi mempesonakan...(biarpun saya tidak sebersih mana)..tetapi kita sama-sama cuba memperingati satu sama lain..moga-moga suatu hari diri ini dan kalian semua akan dapat melihat kehidupan ini dari sudut pandangan sang Pencipta..sehingga sampai suatu saat, setiap perlakuan kita...penialainnya bergantung pada keredaan Yang Esa...

Buat sahabat-sahabat seperjuangan...saya amat merindui kalian semua...rindu yang membuat hati ini sayu...namun itulah rindu yang membahagiakan...moga kerinduan ini akan terubat...agar kita dapat kembali bertemu dalam suasana yang diberkati oleh Yang Memberi Rahmat dan Berkat...

Sehingga saat ini...kerja saya masih terlalu banyak untuk disiapkan...kalau saya tidak mencuri masa untuk menulis di ruangan ini, alamtnya mungkin selepas grad baru lah akan terhasil sebuah entry yang merangkap cerpen kehidupan di bumi Kiwi ini...salam kemaafan dari semua..


Saya yang ingin tetap menjadi hamba....

Kamis, 09 November 2006

BENARKAH HAWA MEMUJUK ADAM MEMAKAN BUAH KHULDI ?

BENARKAH HAWA MEMUJUK ADAM MEMAKAN BUAH KHULDI ?
Muhammad Hanief Awang Yahaya
Allah s.w.t. menempatkan Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sebelum mereka berdua dihantar ke dunia ini. Di tempat yang indah itu, Allah s.w.t. menghalalkan kepada mereka berdua makanan-makanan kecuali buah dari satu pohon. Tipu daya Iblis menyebabkan mereka berdua memakannya lalu bermulalah kehidupan manusia di dunia ini.
Umum tersebar bahawa Hawa telah memujuk Adam memakan buah tersebut. Hal ini disebutkan oleh Ibn Hajar al-`Asqalani ketika menghuraikan hadis berikut:
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم : ولولا حواء لم تخن أنثى زوجها.
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w.: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan mengkhianati suaminya.”
Kata Hafiz Ibn Hajar: “Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa peristiwa yang berlaku kerana Hawa memberi gambaran yang indah tentang pokok itu kepada Adam lalu berlakulah apa yang telah berlaku. Makna khianat Hawa ialah dia telah menerima bujukan Iblis lalu memujuk Adam pula. Oleh kerana Hawa ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanitapun yang terselamat dari menderhaka kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau perbuatan. (Fath al-Bari, jil. 6 hal. 515)
Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Hafiz ibn Hajar tidak merujuk kepada mana-mana riwayat hadis atau pendapat sahabat. Penjelasan beliau bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan dengan aqal semata-semata. Dengan kata lain, penjelasan ini bukan berdasarkan kepada ijtihad tetapi pasti bersumberkan mana-mana riwayat. Tentu sekali beliau mempunyai sumbernya yang tersendiri. Apabila beliau tidak menunjukkan mana-mana riwayat hadis, tentu sekali sumbernya ialah riwayat Israiliyyat. Kalau diandaikan adanya riwayat maka riwayat itu tidak sahih kerana bercanggah dengan fakta-fakta al-Quran.
Dengan merujuk kepada al-Quran segala kepalsuan dan kepalsuan riwayat tersebut akan terdedah. Allah s.w.t. berfirman:
فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi. (al-A`raf: 20)
Dalam ayat ini jelas bahawa syaitan yang menghasut Adam dan Hawa bukan syaitan menghasut Hawa kemudian Hawa menghasut Adam pula. Dalam surah Taha, ayat 120, penafian bahawa Hawa tidak memujuk Adam lebih jelas lagi:
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آَدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى
Lalu syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok hidup kekal dan kerajaan yang tidak akan musnah? (Taha: 120)
Syaitan, bukannya Hawa, yang menghasut Nabi Adam dengan menimbulkan waswas dan memberi sumpah yang palsu.
وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ . فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآَتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua: Sesungguhnya saya termasuk dalam kalangan orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah tersebut nampaklah bagi mereka berdua aurat masing-masing dan mereka berdua mulai menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan menyeru mereka berdua: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu berdua, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu berdua. (al-A`raf: 21-22)
Allah s.w.t menegur Adam kerana lupa kepada janji bukan kerana menerima pujukan Hawa dan Hawa pula tidak ditegur oleh Allah kerana kesalahannya mengkhianati suaminya.
Al-Sabuni menukilkan daripada Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn Abbas berkata: “Syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpah. Adam menyangka bahawa tidak seorangpun berani berdusta dalam bersumpah dengan nama Allah lalu syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpahnya.” (Safwah al-Tafasir, jil. 1 hal. 439)
Bagaimana penafsiran hadis al-Bukhari yang menyabitkan Hawa mengkhianati Adam?
Berlaku tashif dalam meriwayatkan hadis ini iaitu kesilapan dalam hurf خ yang sepatutnya huruf ح. Tashif ialah pengubahan perkataan di dalam hadis.
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم: ولولا حواء لم تحن أنثى زوجها).
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan merindui suaminya.”
Meriwayatkan hadis ini dengan huruf ح lebih tepat dan lebih sesuai dengan fitrah kejadian kaum wanita. Sifat rindu dan setia kepada suami terdapat pada setiap wanita tanpa mengira agama dan bangsa.
Menisbahkan setiap khianat yang dilakukan oleh wanita kepada Hawa adalah sesuatu yang tidak adil dan bercanggah dengan akal yang sejahtera dan fitrah yang suci.
Apabila kita mengenepikan nas-nas al-Quran dengan menerima riwayat Israiliyyat dan menafsirkan hadis berdasarkan Israiliyyat, maka kita telah merendahkan kedudukan wanita. Seolah-olah merekalah punca kerosakan dan dosa orang lain. Sedangkan satu jiwa tidak sekali-kali menanggung dosa orang lain. Dari satu sudut pula, riwayat ini menyerupai konsep dosa warisan yang menjadi doktrin agama Kristian iaitu setiap jiwa tidak bersih dan Nabi Isa yang telah menebus dirinya untuk menyucikannya. (Al-Mawsu`ah al-Muyassarah Fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu`asarah, hal. 504)

Seks dan pergaulan bebas...di manakah NILAI kita?

"Semalam seorang sahabat mengirimkan ustazmuda satu e.mail dan meminta agar ustazmuda dapat mengeluarkan di blog dan dikongsikan dengan beberapa groups. Kiriman e.mail yang juga beliau dapati melalui e.mail sahabat lain... kira perpanjangkan perkara yang baik moga ada manfaatnya. E.mail merupakan satu soaljawab seorang remaja dengan seorang pendakwah. Pendakwah yang memang agak dikenali tika ini.


Persoalan yang boleh dikira sebagai lumrah dialam remaja sekarang. Remaja yang sedang kita hadapi hari ini. Persoalan mungkin pelik bagi kita tetapi adalah dianggap biasa pada mereka. Itulah hakikatnya. Perzinaan!!! sesuatu yang seolah sudah menjadi biasa bukan sahaja dikalangan remaja, bahkan melibatkan setiap generasi. Dari pelajar sekolah hinggalah ke warga emas yang telah menjangkau usia pun terlibat dalam perkara sebegini. Amat menggerunkan.

Ustazmuda tidak mahu memanjangkan kalam... teliti fahami dan hayatilah pemikiran sebahagian besar anak muda kita sekarang.

Soalan :
Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah:

Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina, tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman, tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

Jawapan Dr. Danial Zainal Abidin:
Yang Ikhlas & yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara. Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: ' Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas... Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu.

Nabi bersabda: 'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: 'Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu'(Surah Al-Baqarah ayat 223).

Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya. Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara.

Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli. Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia - Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia - Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserangi masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain
(Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden. Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina.

Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya!
(Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)

Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran. Kaum Lut hancur kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga hancur keranannya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan."

... teringat ustazmuda satu kisah di zaman baginda rasul dahulu. Di mana rasul SAW didatangi oleh seorang musyrik dan mengatakan kepada baginda akan keinginannya untuk menganut Islam, akan tetapi beliau tdak dapat meninggalkan perbutan zina. Baginda tidak pula memarahinya jauh sekali mengherdik pemuda itu, justeru baginda bertanya semula.

Sukakah kami andai seseorang berzina dengan ibu kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan kakak kamu???
Sukakah kamu andai seseornag berzina dengan adik kamu???

Lantas pemuda tersebut mengatakan tidak. Nabipun menyambung, begitu jugalah kepada mereka yang dizinai. Begitulah pendekatan nabi lembut dan penuh hikmah.

Nukilan : Dr. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
Doktor Perubatan, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Mutiara FM (Radio Pulau Pinang),
Penulis 8 buah buku,
Kolumnis Majalah I terbitan Karangkraf,
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa,
Imam Waris Beradat Pertubuhan Seni Silat Gayung,
Pendakwah Bebas dan Khatib Jemputan
Bapa 8 Orang Anak (3 Belia 4 Remaja dan 1 Tadika)

Senin, 30 Oktober 2006

Post Raya Syondrome

Alhamdulillah...tamat sudah sebulan berpuasa.. Raya tahun ini mengundang pelbagai cerita menarik untuk dikongsi. Apa yang pasti, ia lebih meriah berbanding tahun sudah. Pagi Aidilfitri diisi dengan solat hari raya dan jamuan ringan di Ilam Common Room. Apa yang menariknya, 'Clown' disewa untuk menghiburkan kanak-kanak, tetapi menjelang tengahari, baru saya sedar, yang mengerumuni clown itu semuanya abang-abang dan kakak-kakak sahaja (penulis juga tidak terkecuali). hm mungkin ketika kecil kami tidak berkesempatan untuk merasa itu semua. Jadi, di kesempatan yang ada, di hari raya pula, gunakanlah sebaik-baiknya bukan?...=)

Keesokan hari, seronok sakan berjalan raya ke rumah post grad dan PR beramai-ramai. Saya pasti, suasana sebegini pasti sukar didapati di tanah air, lantaran rakan-rakan 'sekepala' kebanyakannya pulang ke kampung masing-masing untuk beraya. Kesannya, setiap kali pulang ke kampung, kita akan terasa seperti orang asing (termasuklah saya juga) lantaran sudah tidak kenal akan saudara-mara terutama yang jauh, bau-bau bacang. Mana tidaknya, kebanyakan masa sepanjang tahun dihabiskan bersama rakan-rakan di bandar, maka apabila pulang ke kampung, jawabnya tidak kenallah saudara-mara yang jauh-jauh itu. Kerana itu lah, budaya ziarah-menziarahi amat penting kita pertahankan. Jangan biar malas menguasai diri. Mahu menonton tv, alasan yang selalu bermain di bibir. Jika kita berterusan begini, tidak mustahil suatu hari kita akan bermuka sombong, walaupun dengan saudara kita sendiri!!

Lebih menarik, buat pertama kali, "Jejaka 301" membuat open house, atau lebih dikenali dengan rumah terbuka. Pengalaman yang amat menarik untuk dicoretkan. Bukan mudah untuk kami melakukannya buat kali pertama, tetapi apa pun yang berlaku, kami cuba sedaya-upaya. Alhamdulillah berhasil. Menu utama:
1) Nasi Kerabu Kuning (Yellow to Wednesday Rice)
2)Kari Ayam (Chicken Curry)
3) Ulam Raja (Bukan Raja Riduan yer..)
4)Nasi Impit (Squished Rice)
5)Kuah kacang (You-are-so-nutty-sauce)
6)Muffin (Half fat as it is already cut into half)
7)Sirap Selasih Tanpa Selasih
8)dan banyak lagi...malas nak taip

Tujuan kami memikirkan nama-nama Inggeris untuk hidangan kami adalah, kami beranggapan ramai juga rakan-rakan non-Malay akan datang. Sekurang-kurangnya mereka faham. Tetapi hanya Bernard dan Lam sahaja yang hadir. Tidak mengapalah. Apa-apa pun, kami belajar sesuatu daripada rumah terbuka itu. Bak kata seorang rakan yang pandai memasak, 'makanan biar berlebih, jangan tidak cukup'. Jika tidak, itulah akibatnya. Barulah terpaksa membeli ayam, dan beberapa masalah susulan berlaku. Tidak mengapa, yang penting kami berasa puas hati dan lega segalanya telah selesai.

Mungkin kerana kejutan penerimaan makanan yang pelbagai jenis dalam masa serentak, saya diserang demam dan beberapa penyakit lain (sensitif untuk disebut di sini). Hinggakan termuntah-muntah. Nasib baik perut tidak meragam semasa periksa. Kelmarin, ada dua lagi jemputan majlis hari raya. Saya amat berat hati untuk pergi, lantaran punya exam keesokan harinya, sedangkan saya baru selesai membaca 50% daripada keseluruhan subjek. Tetapi demi tidak mengecewakan jemputan orang yang menjemput, saya gagahkan juga kaki untuk menekan minyak kereta. Selesai beraya, saya tertidur lantaran kepenatan. Baca pun tidak memberi kesan. Malamnya, lantaran bacaan sendiri tidak berkesan, saya berkunjung ke rumah rakan-rakan Maidstone. Ramai sungguh mereka di sana. Saya juga tidak dapat menumpukan perhatian sebenarnya. Kepala terlalu bercelaru. Gerun saya melihat rakan-rakan membincangkan soalan past year, sedangkan saya seolah-olah tidak tahu apa-apa. Ditambah pula dengan perut yang meragam, makin menjadi-jadi peningnya. Akhirnya, setelah selesai membuat past year (menyalin jawapan sebenarnya), saya pulang
dengan harapan dapat mengulangkajinya di rumah. Tetapi tidak juga. Cek emel dan tertidur. Pagi esoknya, Alhamdulillah, Allah menggerakkan saya untuk membaca latihan past year yang saya tinggalkan malam tadi. Maha suci Allah, soalan exam adalah sama seperti latihan past year yang baru saya baca. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah kerana memberi kemudahan kepada saya. pengajaran daripada cerita ini:
1) Penuhi hak saudaramu yang menjemputmu
2) Jangan berusaha sehingga last minute, kerana nasib baik tidak selalu bersama kita
3) Pohonlah bantuan Allah di saat tenang dan cemas. InsyaAllah Allah tidak akan membiarkanmu keseorangan.
4) Put our trust in Allah.

Saat ini, perut semakin pulih lantaran ginger beer yang berjaya mengeluarkan angin-angin yang tidak perlu tetapi suka untuk bermukim di dalam perut saya. Semuanya atas kekuasaan-Nya jua. Syukur. Sekian..

Minggu, 22 Oktober 2006

Perginya Ramadhan yang dilupai..

Alhamdulillah, sampai juga umur saya Allah pinjamkan ke penghujung Ramadhan ini. Suatu tempoh 'latihan diri' yang penuh bermakna. Malam ini, entah kenapa, saya terasa amat sedih. Mungkin kerana perginya Ramadhan ini tanpa sempat saya membersihkan dan memperbaiki diri sebaik-baiknya. Mungkin juga kerana saya gagal menyempurnakan segala ibadah yang dirangcang selengkapnya. Adakah saya masih punya kesempatan temu Ramadhan tahun hadapan? Saya pun tidak pasti. Moga ibadah saya ini diterima. Moga saya dapat istiqamah, kerana salah satu tanda sesuatu amalan diterima ialah, istiqamah dalam melakukannya.
Esok petang saya akan mengikut abang Hamdan menaiki Cashmere Hill untuk melihat anak bulan. Saya amat berharap ia akan kelihatan esok, lantaran Mekah telah pun menyambut Aidilfitri hari ini. Australia pula esok hari. Tambahan pula, saya punya peperiksaan EMATH271 pada pagi 25/10 nanti. Apa-apa pun, saya serahkan kepada Allah S.W.T. untuk menentukannya. Buat akhirnya, suka sekali saya memetik serangkap pantun yang dipopularkan oleh Encik Tat:

Anak sotong di dalam laut,
Anak laut di dalam sotong,
Itu sotong berenang di dalam laut,
Tidak terdapat di taman burung.


Salam Aidilfitri kepada semua. Ampun maaf saya pohonkan atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Moga berbahagia di hari lebaran mulia...